
APA BEZA JARAK PERJALANAN KERETA ELEKTRIK BAGI UJIAN NEDC, WLTP DAN EPA?
Jika anda sedang berkira-kira untuk membeli kereta elektrik, salah satu aspek yang anda perlu ambil perhatian dengan serius ialah jarak perjalanan yang boleh dilakukan oleh kereta elektrik dengan satu pengecasan penuh. Tapi kita kena ingat bahawa kadangkala jarak yang diberikan adalah anggaran sahaja
Bagaimana jarak perjalanan kereta elektrik dikira?
Kiraan jarak perjalanan sebuah kereta elektrik akan dibuat bersandarkan 3 format ujian yang digunapakai dan diterima di seluruh dunia samaada New European Driving Cycle (NEDC), Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure (WLTP), dan Environmental Protection Agency (EPA)
Ujian NEDC dan WLTP adalah ujian yang dihasilkan oleh kesatuan Eropah manakala EPA pula prosedur yang dibuat oleh Amerika. NEDC boleh dikatakan anggaran paling kurang tepat manakala EPA adalah paling tepat dan WLTP berada di tengah-tengah
Anggaran jarak bagi Eropah dan juga Amerika ini berbeza kerana ujian di Eropah memberi fokus kepada pemanduan dalam bandar manakala ujian di Amerika pula fokusnya adalah di lebuhraya. Bukan kerana menipu, tapi kebanyakan pengguna kereta elektrik di Eropah memandu di dalam bandar manakala pemandu Amerika memandu di lebuhraya
NEDC VS WLTP, mana lagi tepat?
Prosedur NEDC telah direka semenjak tahun 1980an dan dikemaskini pada tahun 1997. Selain daripada menggunakan prosedur yang lapuk dan ketinggalan zaman, ujian NEDC adalah ujian makmal yang mengumpul data dalam keadaan yang sangat ideal berbanding dengan ujian lain berdasarkan senario pemanduan normal
Prosedur WLTP pula diperkenalkan pada tahun 2017 bagi menggantikan method ujian NEDC dan dibuat dalam keadaan pemanduan realistik sama seperti pemanduan dunia sebenar. Antara pembaharuan yang diperkenalkan dalam method WLTP termasuklah ujian dinamik selama 30 minit berbanding 20 minit

Ujian WLTP juga menggandakan jarak, fasa pemanduan yang berbeza dan mengimbangkan antara pemanduan dalam bandar dan lebuhraya. WLTP juga mengukur kecekapan tenaga pada halaju tinggi dan suhu yang lebih tinggi.
Perubahan ini menjadikan data dan keputusan ujian kereta elektrik ujian WLTP lebih tepat berbanding NEDC yang selalu memberi terlebih anggaran jarak perjalanan kereta elektrik sebanyak 25-30%. Jadi jika anda membeli kereta elektrik, pastikan jarak anggaran diukur dalam WLTP untuk lebih tepat.
Bagaimana pula dengan anggaran jarak perjalanan EPA?
Berbeza dengan WLTP, protokol ujian EPA adalah jauh lebih ketat bagi perjalanan di Amerika. Bagi kereta elektrik, EPA akan menggunakan prosedur yang dikenali dengan nama multi-cycle test yang melibatkan pengecasan semalaman dan dicaj penuh.

Kemudian kereta elektrik akan diuji atas dinamometer bagi ujian pemanduan bandar, lebuhraya dan ujian halaju malar sehingga bateri habis. Selepas bateri sekali lagi dicaj penuh, barulah EPA akan memberikan jarak anggaran sebenar pemanduan kereta elektrik.
Jadi jarak yang diberikan oleh NEDC adalah paling tinggi, WLTP berada di tengah-tengah dan EPA memberikan jarak paling rendah. Walaubagaimanapun jarak sebenar sebuah kereta elektrik selain daripada jarak anggaran yang diberikan oleh NEDC, WLTP dan EPA bergantung pada cara pemanduan dan juga apakah aksesori yang anda guna sewaktu memandu
Jika anda menggunakan penyaman udara dengan kuat, memandu dengan laju di kawasan dengan cuaca sejuk, kemungkinan anda akan mendapat jarak perjalanan yang lebih pendek.