Artikel Pilihan

BAGAIMANA SSC TUATARA BERJAYA MENCATATKAN HALAJU 532km/j? LEBIH LAJU DARI CHIRON SUPER SPORT 300+

Pada 10 Oktober 2020, sebuah hypercar iaitu SSC Tuatara berjaya mencatatkan rekod kelajuan paling tinggi yang pernah dicatatkan oleh sebuah kereta sport di atas jalan raya awam. Ujian masa ini dicatatkan di jalan Route 160 di Las Vegas di jalan lurus sejauh 11km. Ketika ujian SSC Tautara tersebut dipandu oleh Oliver Webb iaitu pemandu kereta lumba professional

Bagi membolehkan catatan rasmi ini diperakui oleh World Genuines Record, terdapat beberapa kriteria yang mesti dipenuhi oleh SSC Tautara. Hypercar ini mesti dipandu dalam 2 arah bertentangan dalam sela masa tidak boleh melebihi sejam, menggunakan kereta produksi yang dijual di pasaran, menggunakan tayar yang sama pada model biasa, memasang alat GPS memantau halaju serta diawasi oleh pegawai rekod.

SSC atau nama lamanya Shelby Supercar Incorperated menghasilkan model Tuatara berdasarkan model konsep yang dihasilkan oleh designer Jason Castriota pada tahun 2018. Model konsep ketika itu menggunakan enjin V8 silinder dengan sesaran 6900cc. Namun bagi mencapai 8800 RPM, jurutera menggunakan enjin bersaiz 5900cc.

Nisbah mampatan enjin ini ditetapkan pada 8.8:1 agak rendah bagi sebuah enjin moden tapi terpaksa dibuat bagi mengelakkan masalah knocking. Namun penulis percaya sistem turbo berkembar pada enjin ini ditala pada boost yang maksima sehingga enjin ini berjaya menghasilkan 1350 kuasa kuda dengan menggunakan petrol RON 91. Bagi mendapatkan kuasa yang lebih, enjin ini boleh menggunakan methanol E85 bagi menghasilkan kuasa 1750 kuasa kuda.

E85 membenarkan jurutera menala enjin ini agar beroperasi pada pemasaan enjin yang lebih agresif. Semua kuasa enjin akan dihantar ke semua roda AWD menerusi transmisi AMT 7 kelajuan (ala sama macam Savvy, tapi lebih canggih) namun masa penukaran gear hanyalah 50 milisaat sahaja. Gandingan tork 1735Nm dengan transmisi ini mampu membuatkan Tuatara memecut 0-100km/h dalam masa 2.5 saat sahaja.

Malah Tuatara juga mengambil masa masa 2.5 saat untuk memecut dari 100km/h ke 200km/h. Dalam ujian yang dibuat pada 10 Oktober lalu, Tuatara mencatatkan halaju purata pergi dan balik pada 508.73km/h. Tapi halaju maksima yang dicatatkan oleh Tuatara ialah 532.93km/h. Secara teori dari Kuala Lumpur ke Kodiang tak sampai sejam.

Secara perbandingan Tuatara memiliki lebih 173 kuasa kuda berbanding dengan Bugati Chiron Super Sport yang memiliki kuasa 1577 kuasa kuda. Chiron dijana oleh enjin 8000cc 16 Silinder W quad turbo mencatatkan halaju 490km/h tahun lepas namun ia hanya dilakukan dalam satu arah sahaja berbanding Tuatara pada 2 arah.

Bagaimana Tuatara berjaya mencatatkan halaju yang lebih tinggi berbanding dengan Chiron Super Sport 300+ walaupun hanya berbeza 173 kuasa kuda sahaja? Faktor pertama ialah berat yang berbeza antara Tuatara dan juga Chiron Super Sport 300+. Tuatara hanya seberat 1247 kg sahaja jika dibandingkan dengan Chiron yang seberat 1996kg. Perbezaan ini sebanyak 749 kg tuan-tuan.

Tuatara memiliki berat yang ringan kerana kerangka utamanya dihasilkan daripada gentian karbon dan juga aluminium bagi bahagian yang bertanggungjawab menerima hentakan ketika kemalangan. Berat yang ringan ini juga disumbangkan dengan penggunaan enjin V8 yang lebih ringkas berbanding dengan enjin W 16 Silinder dan 4 turbo pada Chiron.

Tuatara juga memilih untuk menggunakan sistem transmisi AMT berbanding sistem klac berkembar pada Chiron yang lebih ringan. Faktor kedua yang membolehkan Tuatara mencapai halaju yang lebib tinggi ialah rekaan Tuatara yang lebih aerodinamik berbanding Chiron. Tuatara direka dengan pekali geseran 0.279 berbanding Chiron pada 0.36

Lebih tinggi pekali geseran, lebih besar rintangan udara kereta tersebut dan lebih banyak kuasa enjin diperlukan untuk mengatasi rintangan udara. Tuatara bukan sahaja direka dengan pekali geseran yang lebih rendah, malah bahagian depan kereta direka dengan kecil iaitu sekitar 18 kaki persegi sahaja dengan tujuan mengurangkan rintangan udara.

Maka tidak hairanlah Tuatara mampu mencapai laju 532.93km/j disebabkan enjin lebih berkuasa, lebih ringan dan rekaan yang lebih aerodinamik bagi membelah angin.

Google ads
Back to top button