Buletin

MITSUBISHI DEDAH SPESIFIKASI PENUH XPANDER. 1 VARIAN SAHAJA, 1.5L MIVEC, BOLEH DITEMPAH SEKARANG

Selepas membuat teaser baru-baru ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) akhirnya mengumumkan spesifikasi penuh Mitsubishi XPANDER.

Crossover tujuh tempat duduk yang ditunggu-tunggu ramai itu sudah boleh ditempah di semua bilik pameran sah Mitsubishi Motors di seluruh negara. Ia dijadual dilancarkan secara rasmi pada November 2020.

Hanya ditawarkan dalam satu varian, XPANDER dikuasakan oleh enjin petrol 1.5-liter MIVEC dengan blok aluminium yang mampu menghasilkan kuasa 105PS pada 6,000 rpm dan tork 141Nm pada 4,000 rpm.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan yang mengoptimumkan kuasa dan penjimatan bahan api. Jentera itu juga didatangkan dengan waranti 5 tahun dengan perbatuan tanpa had.

“XPANDER ialah model penting bagi MMM. Kami optimis bahawa ia akan menjadi model disukai ramai rakyat Malaysia kerana reka bentuknya yang menarik. Kami tahu bahawa rakyat Malaysia mahukan sebuah kenderaan yang praktikal dan dapat memenuhi gaya hidup lebih aktif mereka.

“Bagi menawarkan model yang lebih berdaya saing dengan spesifikasi mantap, kami memutuskan supaya XPANDER dipasang tempatan (CKD),” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Tomoyuki Shinnishi.

Luaran

Sama seperti semua model baharu Mitsubishi, XPANDER hadir dengan konsep reka bentuk hadapan Dynamic Shield. Bahasa rekaan tersebut diserlahkan dengan lampu utama dalam bentuk blok kristal LED dan lampu belakang LED iluminasi L.

Ia juga dilengkapi rim roda aloi dua tona bersaiz 16 inci. Para pelanggan juga tidak perlu bimbang jika berlaku banjir kilat kerana jarak kelegaan tanah XPANDER adalah setinggi 205mm.

Dalaman

Bagi menawarkan ruang kabin yang terbaik dalam kelasnya, XPANDER memiliki dimensi 1,730mm tinggi dan panjang keseluruhan 4,475mm. Crossover itu hadir dengan jarak roda 2,775mm dan lebar 1,750mm yang menawarkan lebih banyak ruang untuk semua penumpang.

XPANDER merupakan satu-satunya model dalam kelasnya yang tempat duduknya baris kedua dan ketiga boleh dilipat rata. Sekali gus dapat menawarkan ruang kargo yang luas untuk anda mengangkut barang besar atau panjang.

Aspek kemudahan dipertingkatkan lagi dengan banyak ruang simpanan di bawah kerusi, kotak simpanan pada lantai kargo dilengkapi lampu, poket sisi untuk kerusi baris ketiga, barisan duduk ketiga dan pemegang botol.

Tidak ketinggalan, ruang konsol tengah dengan lampu dan glovebox dua bahagian untuk menyimpan segala barangan yang diperlukan.

Keselesaan penumpang belakang tidak diabaikan menerusi empat corong pendingin hawa pada bumbung yang boleh dilaras kelajuan kipasnya.

Dari segi hiburan pula, XPANDER dipasang dengan sistem audio skrin sentuh bersaiz 9 inci bersama ketersambungan Apple Carplay dan Android Auto.

Keselamatan

Ciri-ciri keselamatan terdiri daripada dua beg udara SRS, sistem brek ABS, edararan EBD, Kawalan Kestabilan Aktif, Brek Bantuan (BA), Hill Start Assist (HSA), dan banyak lagi.

XPANDER dilengkapi kluster meter berkontras tinggi bersaiz 4.2 inci yang memaparkan maklumat penting seperti suhu enjin, amaran kawalan luncur atau tahap kapasiti bateri pada kunci kereta.

Pakej Pengedar Sah MMM

Bagi meningkatkan lagi nilainya, satu pakej pengedar sah MMM diperkenalkan. Ia merangkumi ciri-ciri seperti Pemantauan Sekeliling (ARM), Perakam Video Pemanduan (DVR) dan tempat duduk dibalut kulit.

ARM menawarkan pandangan 360 darjah bagi membantu pemandu ketika memarkir kenderaan. Manakala DVR berfungsi merakam setiap detik perjalanan semasa bergerak.

Prebiu khas

Para pelanggan boleh XPANDER secara dekat dalam siri jelajah ke bandar-bandar utama bermula 23 Oktober hingga 8 November. Lokasi dan tarikh prebiu khas adalah seperti berikut:

GALERI

Google ads
Back to top button