Artikel Pilihan

BANYAK KERETA GAGAL UJIAN IMPAK KEMALANGAN SISI YANG BARU INI

Sekiranya anda fikir ujian kemalangan jalan raya yang palig susah sekali dikelolakan oleh Euro NCAP (New Car Assessment Programme), maka tanggapan anda salah sama sekali. Ditubuhkan pada tahun 1959, The Insurance Institute for Highway Safety atau singkatannya IIHS adalah satu organisasi NGO yang bukan berasaskan keuntungan dan dibiayai oleh syarikat insurans adalah organisasi yang menyebabkan banyak syarikat automotif pening kepala

Ini kerana IIHS banyak mengemukakan cadangan, idea dan protokol ujian baru yang lebih susah kepada pembuat kereta. Namun kesannya protokol ujian baru yang dicadangkan oleh IIHS menjadikan jalanraya semakin selamat dan kurang berlakunya kemalangan yang meragut nyawa. Antara pembaharuan yang dicadangkan oleh IIHS ialah “Small Overlap Test”.

Biasanya kereta baru akan diuji dengan ujian kemalangan secara berdepan 100% dan diberikan penilaian Good, Acceptable (ok boleh diterima), Marginal (cukup makan) atau Poor (gagal). Namun apabila IIHS mencadangkan ujian Small Overlap Test dimana hanya 25% sahaja permukaan depan kereta melanggar konkrit padu pada halaju 64km/jam, maka banyak kenderaan yang gagal ujian ini.

Ini kerana pengeluar gagal memikirkan aspek ketahanan struktur terutama pada bahagian yang menyokong penyerap hentak serta suspensi depan kenderaan. Ujian ini menyebabkan pengeluar kereta membaiki kesilapan rekaan struktur kenderaan dan menjelang tahun ini kebanyakan kereta boleh lulus ujian ini dengan cemerlang. Tapi seperti biasa IIHS akan memperbaharui lagi protokol ujian, kali ini melibatkan ujian impak kemalangan sisi

Walaupun kemalangan ini jarang-jarang berlaku di US, tapi ia melibatkan sehingga 23% kes kemalangan maut. Apatah lagi jika senario ini dibuat di Malaysia, keadaan akan bertambah buruk dengan kebanyakan pemandu cuai dan melanggar lampu isyarat merah yang menjadi punca kemalanngan sisi (T Bone Impact). Ujian ini adalah susah memandangkan struktur kenderaan sendiri yang nipis di bahagian sisi

Dalam protokol ujian sebelum ini, IIHS hanya menggunakan troli dengan berat sekitar 1500kg sahaja dengan halaju 50km/jam. Dalam ujian kemalangan sisi yang baru, IIHS mengubah troli ujian kemalangan menjadi 1900kg dan halaju dinaikkan menjadi 60km/j. Situasi ujian ini adalah selari dengan semakin ramai pengguna memilih crossover/SUV menjadi kenderaan dan SUV menjadi semakin berat.

Dalam dapatan ujian IIHS, kenderaan yang sebelum ini lulus cemerlang ujian kemalangan impak sisi mulai gagal dengan ujian kemalangan yang baru. Malah IIHS bertindak mengubah rekaan depan troli yang digunakan dalam ujian agar ia mirip seperti SUV/crossover sebenar yang dipandu atas jalan raya menjadikan ujian ini bertambah susah.

SUV/crossover merupakan pemangsa utama yang menyebabkan kebanyakan kenderaan gagal dalam ujian kemalangan sisi kerana ia lebih berat serta kebanyakan berat kenderaan berada tinggi daripada biasa. Apabila melanggar bahagian sisi kenderaan lain, ia akan merempuh bahagian cermin dan tiang A, tiang B dan tiang C bukannya lantai, struktur tepi dan struktur pintu yang lebih kuat.

Salah satu kenderaan yang diuji ialah Mazda CX-5 yang berjaya mendapat skor bagus dalam ujian protokol lama dan baru. Selain daripada penggunaan beg udara SRS bahagian tepi, struktur kerangka CX-5 direka dengan rekaan “Ring Structure” dimana tiang B bersambung dengan Upper Body dan Underbody dalam bentuk cincin. Semua struktur ini disambung dengan rekaan dual brace

IIHS juga mendapati pengeluar kenderaan perlu menguatkan tiang B, menguatkan struktur pintu serta memasang satu lagi bar keselamatan di bahagian sisi pintu bagi memastikan kenderaan baru lulus dengan ujian ini. Bukankah semua pembaharuan ini bagus untuk kita?

Google ads
Back to top button