Artikel PilihanBuletin

BAYANGAN TOYOTA ESTIMA 2021. DIGANTI SELEPAS 15 TAHUN!

Jika mengikut tradisi Toyota (dan kebanyakan pengeluar Jepun) yang menggantikan model baharu setiap 5 atau 7 tahun, Toyota Estima satu-satunya kenderaan yang paling lama dikeluarkan sejak generasi ACR50.

Pertama kali diperkenalkan pada 2006 dan setelah 13 tahun dan empat facelift berbeza, sudah ada ura-ura ianya akan digantikan pada tahun 2021.

Menurut media Jepun, Toyota Estima akan diperbaharui sepenuhnya dan akan diperkenalkan ke pasaran domestik Jepun dalam tempoh dua tahun lagi.

Estima adalah revolusi dalam segmen MPV tujuh tempat duduk di Jepun dan juga pasaran Global. Diperkenalkan pertama kali pada 1990 menerusi enjin pemasangan tengah 75 darjah dan dipacu roda belakang. Toyota menggelarnya “Genius Tamago”.

Beberapa generasi berikutnya, Estima mendominasi pasaran bersama Honda Odyssey. Ketika pasaran MPV memuncak, ia disaingi oleh setiap pengeluar di dunia namun Estima masih kekal bertahan dan relevan, khasnya di pasaran Jepun.

Ia bagaimanapun kalah dengan kem sendiri. Ketika Toyota memperkenalkan Alphard pada 2002, Estima secara tidak langsung “tersisih” dari pasaran. Apatah lagi apabila Vellfire/alphard yang lebih mewah diperkenalkan pada 2008 dengan pelbagai versi, model dan varian.

Sejak dari itu, Estima hanya menerima facelift meskipun Alphard sudah berganti tiga generasi berbeza.

Namun setelah 15 tahun, Toyota nampaknya akur dengan perkembangan semasa. Biarpun ada ura-ura sebelum ini Estima akan dihentikan pengeluaran (dan digantikan dengan Alphard/Noah), media Jepun pula berpendapat sebaliknya.

Mereka mengganggap ia sebagai model penting yang telah mencorakkan budaya MPV itu sendiri. Apatah lagi dengan perkembangan jualan MPV yang memang stabil di Jepun.

Google ads
Back to top button