Buletin

UNTUNG RM108.4 BILION, TOYOTA BIMBANG KESAN KENAIKAN HARGA BAHAN MENTAH DAN INFLASI

Toyota mengakui sukar untuk pihaknya membuat jangkaan tahun fiskal biarpun mencatat rekod keuntungan mencecah AS$24.61 bilion (RM108.4 bilion) untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu. 

Bercakap dalam satu sidang media, Toyota mendedahkan kos bahan mentah akan naik dua kali ganda berbanding tahun lalu. Ia juga bimbang mengenai inflasi dan kenaikan bahan api, sekali gus menyukarkannya untuk membuat ramalan untuk jangka masa pendek. 

Jelas Toyota lagi, kenaikan kos bahan mentah akan menjejaskan keuntungan. Ketua Pegawai Teknologi Toyota, Masahiko Maeda menyatakan kereta elektrik akan menerima kesan lebih ketara. Biarpun begitu, pihaknya akan mengambil pendekatan konservatif untuk mengalihkan kenaikan kos itu kepada pengguna kerana hanya segelintir pasaran sahaja yang akan menerima kenaikan harga kenderaan. 

Pengeluar Jepun itu merancang untuk menyerahkan 3.07 juta kenderaan dalam tempoh tahun fiskal Mac 2023. Dalam jumlah itu, dianggarkan sebanyak 2.85 unit ialah model hibrid seperti Prius dan RAV4 Hybrid, manakala baki 95,000 unit lagi ialah model BEV. 

Lonjakan keuntungan Toyota baru-baru ini disumbang oleh kadar tukaran wang asing dan kos pemasaran lebih rendah, seterusnya membantu mengurangkan impak kenaikan harga bahan mentah dan logistik.

Google ads
Back to top button