Buletin

BELI MERCEDES-BENZ RM600K, INI JAWAPAN PEJABAT MB KELANTAN

Semalam, kami berkongsi laporan mengenai pembelian sebuah Mercedes-Benz S 450 L AMG Line berwarna hitam pada harga lebih RM600,000 oleh kerajaan Kelantan untuk kegunaan Menteri Besarnya, Ahmad Yakob.

Ia mendapat perhatian ramai apabila sekeping gambar kereta mewah dengan plat pendaftaran DV 1 tular di media sosial.

Berita itu nyata mendapat reaksi berbeza daripada netizen. Ada yang menyokong, malah ramai juga yang mempertikaikan perbelanjaan tersebut.

Jadi, bagi meredakan keadaan, Pejabat Menteri Besar Kelantan tampil memberi penjelasan.

Dalam satu kenyataan media semalam, Pejabat Menteri Besar Kelantan menyifatkan dakwaan kerajaan negeri menggunakan peruntukan khas kepada Kelantan sebanyak RM400 juta untuk membelian kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri adalah satu fitnah dan berniat jahat.

“Untuk rekod, keputusan kerajaan negeri untuk menggantikan kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri telah dibuat menerusi kenyataan timbalan menteri besar pada 12 September 2018 lagi.

“Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menggantikan kenderaan rasmi bagi kegunaan menteri besar dan exco negeri secara berperingkat setelah membuat penelitian mengenai kenderaan lama yang digunakan sejak 10 hingga 12 tahun yang lalu,” jelas kenyataan tersebut.

Pejabat Menteri Besar Kelantan memberitahu kenderaan rasmi Menteri besar dengan nombor pendaftaran DV 1 ialah kenderaan yang digunakan sejak pentadbiran Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan dikurnia oleh Tuanku Sultan Kelantan.

“Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menggantikan kenderaan yang digunakan sejak lebih 10 tahun itu dengan mengekalkan nombor pendaftaran asal iaitu DV 1 pada kenderaan rasmi baru menteri besar Kelantan yang mana telah mendapat ampun perkenan Tuanku,” jelas kenyataan tersebut.

Sumber: Malaysiakini

Google ads
Back to top button