Buletin

SCANIA SERAH 31 UNIT BAS KEPADA PERDANA EXPRESS

Scania baru-baru ini menyerahkan sebanyak 31 buah bas kepada syarikat pengendali bas, Perdana Express.

Bas itu bakal mengukuhkan lagi perjalanan Perdana Express di antara Pantai Timur ke Wilayah Tengah, selain mengembangkan laluan ke Wilayah Utara khususnya Tanjung Malim dan Parit Buntar.

Bas tersebut diserahkan kepada Pengarah Urusan Perdana Express, Laili Ismail oleh Pengarah Urusan Scania Asia Tenggara, Marie Sjödin Enström.

Scania K1410EB6X2 merupakan pilihan Perdana Express kerana ia dilengkapi  fungsi Scania Opticruise, suspensi udara penuh, sistem brek elektronik (EBS), Scania Retarder, kawalan cengkaman, kuasa tork yang lebih tinggi dan stereng boleh laras. 

Dalam majlis yang sama, Perdana Group, pengendali syarikat bas Perdana Express, Darul Iman Express dan Lienadia Express juga telah menandatangani kontrak penyelenggaraan, baik pulih dan ecolution bersama Scania Malaysia untuk 78 buah bas Scania.

Ia sebagai salah satu langkah untuk menyediakan perjalanan yang lebih selamat, selesa, dan mesra alam kepada semua penumpang mereka.

“Perdana Group amat mementingkan keselamatan serta keselesaan para penumpang. Oleh itu, kontrak yang ditandatangani pada hari ini menjadi bukti kepercayaan kami terhadap kualiti perkhidmatan Scania yang terbaik  bagi memastikan pelanggan kami sentiasa selesa dan tenang sepanjang perjalanan,” kata Laili.

Perdana Group juga menandatangani Scania Ecolution sebagai usaha untuk mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida. 22 buah bas syarikat Kumpulan tersebut akan memulakan Ecolution sebagai perintis sebelum dikembangkan kepada semua bas Perdana Group. 

Fokus utama adalah untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan kos operasi, sekali gus menambah baik keuntungan.  

Perdana Express ditubuhkan pada tahun 2009. Mereka menawarkan perkhidmatan bas ke destinasi meliputi seluruh Semenanjung Malaysia iaitu Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang), negeri-negeri utara (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis), wilayah tengah (Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka) serta selatan (Johor).

Syarikat itu menjadi pelanggan Scania sejak 2010 dan kini memiliki lebih 100 buah bas Scania.

Google ads
Back to top button