Buletin

PETROL BHPETROL INFINITI RON95 EURO4M KINI SUDAH ADA DI SELURUH NEGARA

Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) mengumumkan bahawa bahan api BHPetrol Infiniti RON95 telah dinaik taraf kepada standard Euro4M.

Pengenalan itu selari dengan arahan kerajaan supaya semua syarikat petroleum membekalkan petrol RON95 yang mematuhi piawaian Euro4M bermula 1 Januari 2020.  

“Lori tangki kami telah mula menghantar bahan api BHPetrol Infiniti RON95 Euro4M ke semua station BHPetrol di seluruh negara sejak minggu terakhir 2019.

“Kami berbesar hati untuk memberitahu stesen minyak kami kini hanya akan membekalkan RON95 dengan standard Euro4M,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir. Azizul Azily Ahmad.  

Dengan standard Euro4M, kandungan sulfur telah dikurangkan secara signifikan kepada 50 parts per million (ppm) daripada 500 ppm berdasarkan standard Euro2M. Hasilnya, emisi ekzos akan lebih bersih dan mesra alam.  

Kurang sulfur juga bermakna kadar asid di dalam enjin dapat dikurangkan. Sekali gus memanjangkan jangka hayat enjin dan mengurangkan masalah tersumbat di dalam sistem penghantaran bahan api.

Sama seperti bahan api BHPetrol Infiniti RON97 Euro4M, petrol Infiniti RON95 Euro4M didatangkan dengan aditif berprestasi tinggi daripada pembekal pakar aditif bahan api global.

Aditif ini mempunyai beberapa fungsi seperti membersih dan mengelakkan pembentukan deposit, selain mengurangkan geseran dalaman. Pakej aditif itu didatangkan dalam kekuatan maksimum (800 ppm) untuk prestasi terbaik.

“Bahan api BHPetrol Infiniti yang kami import ini lebih bersih dan bergred tinggi. Kami memasukkan pakej aditif yang eksklusif ke dalam formulasi termaju tanpa sebarang kos tambahan demi memberikan prestasi terbaik kepada pelanggan,” kata Ir. Azizul.

Kini, terdapat sekitar 400 buah stesen BHPetrol di seluruh negara dengan 290 daripadanya mempunyai kedai serbaneka BHPetromart. Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah tambah nilai kad Touch ‘n Go, ATM, serta jualan makanan dan minuman.

Beberapa stesen juga menawarkan perkhidmatan cuci kereta dan mengecas kenderaan elektrik.

Maklumat lanjut mengenai BHPetrol, sila layari laman web: www.bhpetrol.com.my.

Google ads
Back to top button