Buletin

BELI TOYOTA MR2 TURBO TAHUN 1993 PADA HARGA RM2,000 SAHAJA – TAPI ADA DRAMA DI SEBALIKNYA

Seorang lelaki nampaknya sangat bertuah apabila berjaya membeli sebuah Toyota MR2 Turbo generasi kedua pada harga cuma AS$500 (RM2,000) sahaja.

Kita sedia maklum bahawa kereta-kereta sport klasik Jepun memang menjadi impian ramai. Jadi apabila timbul cerita macam ni, mesti ramai yang terbeliak biji mata.

Seorang pengguna laman Reddit menyatakan bahawa MR2 Turbo berwarna putih itu berada di dalam garaj tempat dia bekerja selama beberapa tahun.

Selepas membuat siasatan lanjut, kereta tersebut sudah tersadai sejak tahun 1999 kerana tidak lagi boleh dihidupkan.  

Pemilik asal tidak berjaya dihubungi dan akhirnya ia berada di kedai tersebut selama hampir 20 tahun.

Kereta itu hanya mencatat jarak perbatuan sejauh 2,351km. Selepas disedilik lagi, MR2 tersebut sebenarnya telah dicuri daripada sebuah pengedar Toyota pada tahun 1993.

Selepas membayar dan membuat prosedur sepatutnya, pemilik baru berjaya menghidupkan MR2 Turbo ini. Antara pembaikan yang dibuat ialah memasang wayar baru, penghidup enjin, pam bahan api dan speedometer. Nak bagi lagi best, tambah juga sistem bunyi dan tempat duduk yang baru.

Diperkenalkan pada tahun 1989, MR2 Turbo menggunakan enjin 3S-GTE bersesaran 2.0 liter. Mampu menjana kuasa mencecah 200hp, ia dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan.

Google ads
Back to top button