
MFORCE BIKE LANCAR WMOTO F15. 3 WARNA PILIHAN, HARGA RM5,999 SEUNIT
Mforce Bike Holdings melancarkan model moped terbaharu, WMoto F15 edisi 2021 yang menampilkan aspek ekonomi, mampu milik serta sesuai untuk kegunaan harian.
Motosikal terbaharu itu dijual pada harga jualan asas RM5,999 (tanpa insurans, pendaftaran dan cukai jalan).
Ia menawarkan tiga pilihan warna menarik iaitu hijau, biru dan turquoise.
Motosikal F15 didatangkan lampu DRL yang terang dan jelas dipadankan bersama lampu isyarat.

Selain itu, lampu hadapan dibahagikan kepada dua bahagian atas untuk lampu rendah dan bawah bagi lampu tinggi manakala bahagian belakang merupakan lampu LED.
F15 memiliki berat 118 kg dengan dimensi 1,960mm (panjang), 690mm (lebar) dan 1,100mm (tinggi) dilengkapi tangki 5.5 liter.
Ketinggian tempat duduk pula adalah 770mm, jarak roda 1,280mm dan jarak lega bumi 145mm sekali gus memberi keselesaan pada tunggangan.

WMoto F15 mendapat khidmat enjin silinder tunggal, SOHC, 4-lejang dengan sistem penyejuk udara dan suntikan bahan api.
Model itu mampu menjana kuasa maksimum mencecah 10.5hp @ 7,000rpm dan tork 11Nm @ 8,000rpm dipadankan transmisi 5 kelajuan.
Ia hadir dengan brek cakera depan berukuran 290mm dengan kaliper dwipiston, belakang cakera 190mm kaliper piston tunggal.

Sistem suspensi pula didatangkan fork teleskopik (depan) dan monoshock (belakang).
Jentera tersebut turut mendapat sentuhan paparan meter gabungan analog dan digital yang memaparkan maklumat seperti tahap kelajuan, bahan api serta jarak perjalanan.
Bahkan, rekaan paparan meter paras bateri motosikal seperti telefon pintar.

Menurut Pengurus Operasi MForce Bike Holdings, Asri Ahmad, WMoto F15 sememangnya disasarkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan jantina kerana spesifikasinya yang cukup sesuai.
Dengan setiap pembelian Wmoto F15, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.
WMoto F15 boleh didapati di mana-mana premis pengedar sah WMoto di seluruh negara.
- BACA: MFORCE BIKE DILANTIK PENGEDAR EKSKLUSIF JENAMA QJ MOTOR
- BACA: MFORCE LANCAR BX 150 FACELIFT 2021. 3 VARIAN, BERMULA RM10,488 SEUNIT
- BACA: MFORCE PERKENAL SM SPORT 110R DENGAN WARNA DAN GRAFIK BAHARU. RM4,018 SEUNIT
- BACA: MFORCE BIKE PERKENAL SYM JET X 150 DAN WMOTO XTREME 150i. HARGA RM8K HINGGA RM10K