Buletin

BENGANG PAM MINYAK KENA SAILANG, KEPALA WARGA EMAS DIPUKUL DENGAN HELMET

Polis menahan seorang pemandu peribadi semalam kerana disyaki memukul kepala lelaki warga emas dengan topi keledar kerana berang kereta mangsa masuk ke petak pam minyak disasarkan suspek untuk mengisi minyak motosikalnya.

Kejadian yang tular di media sosial itu membabitkan suspek lelaki dan mangsa masing-masing berusia 38 dan 64 tahun di sebuah stesen minyak di Jalan Duta, di sini menghala ke utara.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata pihaknya turut merampas pakaian suspek dipercayai digunakan ketika kejadian, selain sebuah motosikal jenis Modenas Kriss MR3 dan satu topi keledar bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod dadah pada 2010 dan masih dikehendaki polis bersabit kes berkenaan. Hasil saringan ujian air kencing pula mendapati lelaki itu negatif dadah.

“Mangsa yang mendapatkan rawatan di hospital pula sudah dibenarkan keluar wad hari ini. Kita akan rakam keterangan mangsa selepas dia bersedia dan pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suspek direman tiga hari hingga Selasa ini mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan. – Berita Harian

Google ads
Back to top button