Buletin

BENGANG KENA HON, PENUNGGANG MOTOSIKAL BALING BATU – PECAHKAN CERMIN BELAKANG KERETA

Seorang penunggang motosikal dipercayai warga Singapura didakwa membaling batu kepada sebuah kereta sehingga memecahkan cermin belakangnya Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura, di sini semalam.

Klips video 24 saat yang dimuat naik menerusi Facebook menunjukkan penunggang terbabit mempercepatkan motosikalnya di belakang kereta berkenaan sebelum membaling batu ke arah cermin belakang kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan mengesahkan pihaknya mengesan video yang tular itu.

Beliau berkata pemilik kereta berusia 30 tahun telah membuat laporan polis semalam.

Kejadian jam 8.20 pagi di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura berhampiran plaza tol Perling menghala ke Taman Bukit Indah, Johor Baru.

Kumarasan berkata, pemandu kereta mendakwa dia membunyikan hon selepas penunggang motosikal itu menukar lorong secara tiba-tiba.

Penunggang itu kemudian mengejar kereta berkenaan sebelum didakwa membaling batu ke arah cermin belakang kereta sehingga pecah.

“Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, tindakan penunggang motosikal berkenaan membahayakan keselamatan awam dan menyebabkan kerosakan harta benda,” kata Kumarasan dalam kenyataan.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, yang membawa hukuman penjara satu hingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ia turut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya, yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Beliau turut menggesa saksi mempunyai maklumat supaya menghubungi pusat kawalan polis daerah di 07-5113622 atau talian hotline 24 jam di 07-5114486. – Berita Harian

Google ads
Back to top button