Buletin

BYD Ti7 PHEV DEBUT DI THAILAND, LANCAR TAHUN DEPAN – ANGGARAN HARGA RM115K

BYD meneruskan langkah agresifnya di peringkat antarabangsa apabila memperkenalkan Ti7, sebuah SUV plug-in hybrid serba baharu, pada Bangkok Motor Expo 2025.

Model berorientasikan keluarga ini sudah mencipta fenomena di China dengan jualan mencecah 50,000 unit dalam tempoh hanya 80 hari.

Di pasaran domestik, Ti7 dipasarkan di bawah nama Fang Cheng Bao Ti7 (Tai 7/Titanium 7) dengan harga antara 179,800 hingga 219,800 yuan (kira-kira RM113,000 – RM155,000).

Unit dipamerkan di Thailand ialah model spesifikasi China, lengkap dengan stereng sebelah kiri dan lencana dalam bahasa Cina, namun membawa teknologi yang sama seperti versi pasaran domestik.

Dipasarkan sebagai “Urban SUV”, Ti7 hadir dengan rangka monokok serta bahasa rekaan baharu yang menekankan garis kotak, bumbung rata dan lengkung roda lebar.

Lampu utama menggunakan unit LED matriks, manakala bahagian belakang menampilkan pintu tailgate jenis swing-out dengan ruang simpanan tambahan.

Turut disertakan ialah pemegang pintu konvensional, rim 20-inci kemasan gelap, sensor LiDAR dan bampar bersaiz besar. Dimensinya berukuran 4,999mm panjang, 1,995mm lebar dan 1,865mm tinggi.

Bahagian dalaman Ti7 pula didominasi warna putih dan dilengkapi tujuh paparan termasuk skrin kawalan pusat 15.6-inci, kluster instrumen 12.3-inci dan paparan HUD W-HUD 26-inci. Dua skrin kawalan pendingin hawa ditempatkan di hadapan, manakala penumpang belakang menerima dua unit BYD Pad bersaiz 13-inci.

SUV ini turut hadir dengan bumbung kaca panorama, sistem audio 20 pembesar suara dan pencahayaan ambien. Konfigurasinya adalah lima tempat duduk.

Beralih pada kuasa, model yang dipamerkan ialah versi spesifikasi tertinggi, menggunakan sistem DM 5.0 dengan pacuan empat roda.

Sistem ini menggabungkan enjin 1.5-liter turbo 154hp bersama dua motor elektrik dengan jumlah output 483hp. Bateri LFP 35.6kWh membolehkan jarak pemanduan elektrik sehingga 190km (kitaran CLTC). Pecutan 0–100 km/h pula hanya 4.5 saat dan ia turut dilengkapi sistem torque vectoring.

Walaupun BYD masih merahsiakan tarikh pelancaran, kemunculan Ti7 di Thailand menunjukkan bahawa model ini semakin hampir memasuki pasaran global, berkemungkinan seawal tahun hadapan.

Google ads
Back to top button