
BENTANG TILAM DI DALAM KERETA UNDANG BAHAYA
Tindakan segelintir pengguna kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membentangkan tilam mahu pun toto di bahagian penumpang belakang terutama yang berkeluarga semasa kenderaan bergerak adalah satu kesalahan dan mengundang bahaya.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Rospiagos Taha berkata, perlakuan tersebut membahayakan pemandu dan penumpang terutama kanak-kanak.
“Semua pemandu dan penumpang dewasa hendaklah duduk di kerusi ketika kenderaan bergerak.
“Tambahan pula, bermula Januari 2009, peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang telah dikuatkuasakan melalui Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008),” katanya.

Beliau berkata, bagi kanak-kanak dengan berat kurang daripada 36 kilogram atau ketinggian kurang daripada 136 sentimeter atau berumur kurang 12 tahun dikehendaki memakai kerusi keselamatan kanak-kanak ketika kenderaan bergerak.
Jelasnya, peraturan-peraturan itu dikuatkuasakan bagi mengurangkan impak dan menjamin keselamatan penumpang sekiranya berlaku kemalangan.
Pada Isnin, tular gambar memaparkan kanak-kanak dalam sebuah MPV yang baring dengan beralaskan toto di bahagian penumpang belakang.
Berikutan itu, seorang individu telah membuat ulasan di media sosial X bahawa pendidikan keselamatan pengguna jalan raya masih di tahap rendah.
Dakwa pemilik akaun X Hezeri Samsuri, ibu bapa boleh dikenakan saman dan penjara jika berlaku kemalangan hingga akibatkan kematian kerana kelalaian itu. – Sinar Harian
- BACA: EPMB METERAI PERJANJIAN BERSAMA BAIC – BAKAL KELUARKAN MODEL X55II, BJ40, EV DI MELAKA
- BACA: KENALI 5 WARNA PAM BAHAN API DI STESEN MINYAK, JANGAN SILAP ISI
- BACA: CONTINENTAL TYRES PERKENALKAN MAXCONTACT MC7 – TERSEDIA DI PASARAN SUKU PERTAMA 2024
- BACA: LAKU KERAS, STOK KEDUA 500 UNIT SYM HUSKY ADV 150 TIBA DI PENGEDAR