Artikel Pilihan

KENALI 5 WARNA PAM BAHAN API DI STESEN MINYAK, JANGAN SILAP ISI

Di sebalik pengenalan kenderaan berkuasa elektrik di dalam negara, hampir majoriti pengguna jalan raya masih lagi menggunakan kenderaan yang dikuasakan oleh enjin pembakaran dalam. Bagi kegunaan domestik, kebanyakan pengguna jalan raya di sini menggunakan bahan api petrol ataupun diesel yang boleh diisi di stesen minyak.

Tetapi jika anda yang biasa menggunakan petrol sahaja, terutama petrol RON 95 dengan pam berwarna kuning anda akan perasan yang sebenarnya pam minyak di stesen minyak diberikan warna tertentu dan tidak semua pam adalah sama. Jadi kali ini kami akan bercerita berkenaan dengan warna pam yang digunakan di stesen minyak.

1. Warna kuning – digunakan oleh petrol RON 95 yang disubsidi dengan kuantiti yang besar oleh kerajaan dan amat didambakan oleh kebanyakan pengguna dari negara jiran. RON 95 ditawarkan kepada pengguna pada tahun 2009 selepas kenaikan mendadak RON 97, sekaligus menggantikan RON 92

Bagi kebanyakan kereta penumpang yang biasa digunakan, RON 95 ini sebenarnya sudah memadai melainkan anda memandu kereta enjin aspirasi normal prestasi tinggi yang menggunakan nisbah mampatan tinggi atau enjin turbo tekanan tinggi yang memerlukan ketahanan dari masalah knocking, barulah RON 95 ini tidak sesuai untuk anda

2. Warna hijau – jadi pilihan kedua ialah RON 97 yang dilabel dengan pam hijau bagi enjin prestasi tinggi. RON 95 dan RON 97 semuanya memiliki gred pelepasan asap yang sama iaitu Euro 4, tetapi RON 97 diberikan bahan tambahan yang menjadikan petrol ini lebih tahan lasak pada masalah ketukan.

Bagi enjin aspirasi normal prestasi tinggi, enjin ini bergantung untuk menghasilkan lebih banyak kuasa pada RPM tinggi dan nibah mampatan tinggi. Keadaan ini menyebabkan RON 95 mengalami masalah knocking jika digunakan pada enjin ini, menyebabkannya mengubah pemasaan enjin dan enjin menjadi kurang berkuasa

Sama juga dengan enjin turbo prestasi tinggi yang menggunakan boost turbo tekanan tinggi, petrol 95 akan menyebabkan masalah knocking. Keadaan ini menjadikan petrol RON 97 adalah lebih sesuai

3. Warna Perak – bagi kenderaan yang memerlukan petrol yang lebih premium dan melebihi RON 97 seperti kereta prestasi tinggi dari Jepun dengan keperluan RON 98 ke atas, Petron menawarkan petrol RON 100 dengan harga RM 5 seliter. Ya memang agak keras harga yang ditawarkan memandangkan petrol ini menggunakan formulasi khas.

RON 100 diberikan bahan tambah yang dihasilkan terus dari bahan sintetik (buatan kimia), bahan detergen (bahan cuci), bhan tambah bagi menggalakkan poembakaran organik, friction modifier bagi mengurangkan geseran dan bahan tambah untuk mengurangkan pelepasan asap. Biasa digunakan oleh supercar

4. Warna Merah – antara produk petrol paling mahal dan premium, dijual oleh Shell sebagai Shell V-Power dengan harga RM 6.20 seliter. Petrol ini digunakan, dicadangkan dan dipercayai oleh Ferrari, dicadangkan oleh BMW bagi jentera M Series dan juga disarankan oleh Ducati bagi kegunaan superbike mereka

Shell V-Power ada 3 kali kandungan bahan tambah detergen dan perlindungan berbanding dengan Shell RON 95 bagi melindungi sistem suntikan dan injap dari enapan karbon, karat dan perlindungan dari hakisan serta melindungi piston ring. Shell V-Power dihasilkan melalui kerjasama dan kajian beraama Scuderia Ferrari dalam perlumbaan F1

5. Hitam – biasa digunakan oleh minyak diesel bagi kegunaan komersial, namun selaras dengan kehendak global dan keperluan mengurangkan pencemaran alam sekitar, diesel telah dinaiktaraf kepada diesel Euro 5. Piawaian terbaru ini membenarkan diesel memiliki kandungan sulfur kurang dari 10ppm sulfur , sekaligus mengurangkan pelepasan gas sulfur dioksida kepada alam sekitar

Diesel di Malaysia telah dicampur dengan bahan api biofuel iaitu minyak sawit (palm methylesther) berdasarkan arahan kerajaan dengan mengikut standard MS 123-5:2020. Bagi pam berwarna hitam ia menggunakan campuran 10% palm methylesther dan bakinya ialah 90% diesel, menjadikannya dikenali sebagai Diesel B10

Namun jika anda menyemak laman Petronas, anda akan dapati masih terdapat gred minyak diesel B20 dijual oleh Petronas. Diesel B10 dijual dengan harga RM 2.15 seliter. Jika anda biasa menggunakan pam diesel, anda boleh simpan satu sarung tangan untuk melindungi tangan anda dari minyak diesel yang mencemari pemegang pam.

6. Biru – bagi enjin turbodiesel moden yang beroperasi dengan sistem suntikan bahan api tekanan tinggi common rail, penggunaan B10 atau B20 boleh menyebabkan sistem suntikan tersumbat dengan asid lemak yang terhasil daripada palm methylesther.

Jadi diesel B7 diperkenalkan dengan kandungan minyak sawit dihadkan kepada 7% sahaja manakala 93% lagi adalah minyak diesel. Pam ini ditandakan dengan pam berwarna biru dan biasa dipasang dengan pelekat tambahan B7. Hampir semua enjin turbodiesel bagi kereta penumpang, SUV dan MPV menggunakan diesel B7

Google ads
Back to top button