
RABA DAN TUMBUK KREW PESAWAT, LELAKI DILEKAT PADA KERUSI. DIDAKWA 3 TUDUHAN LAKUKAN KEKASARAN
Penerbangan pesawat Frontier Airlines dari Philadelphia ke Miami, Amerika Syarikat kecoh apablila seorang penumpang didakwa meraba dua orang pramugari dan menumbuk muka seorang pramugara.
Menurut polis, lelaki berusia 22 tahun, Maxwell Berry dari Ohio berkelakuan tidak senonoh selepas mengambil dua gelas minuman keras. Berry pada mulanya memesan minuman keras, sebelum meggosok gelas kosong pada bahagian belakang seorang pramugari.
Berry kemudian menumpahkan minuman ke atas bajunya, pergi ke bilik air dan keluar tanpa memakai baju. Seorang pramugari mendapatkan baju daripada beg milik Berry. Selepas berjalan selama 15 minit, dia didakwa meraba dada dua orang pramugari dan mereka meminta seorang pramugara untuk mengawasi Berry.
Malangnya, Berry menumbuk muka pramugara berkenaan. Ini menyebabkan dia serta seorang penumpang bergelut serta mengikat Berry di atas kerusi menggunakan pita pelekat dan tali pinggang keledar.
Dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami dan didakwa atas tiga tuduhan melakukan kekerasan. Frontier Airlines memberitahu pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendakwa Berry. Pramugari dan pramugara terlibat diberi cuti bergaji sementara menunggu siasatan tamat.
Berry dilapor dilepaskan dengan bon bernilai AS$1,500 (RM6,320). Namun, ia tidak berakhir di situ kerana penumpang yang menyerang krew boleh berdepan denda sehingga AS$35,000 (RM147,600) dan hukuman penjara.