Buletin

BERANG DITEGUR, PEMANDU ALZA BELASAH LELAKI HINGGA CEDERA DI KEPALA, PATAH 7 BATANG GIGI

Hanya kerana menegur pemandu lain yang tidak menggunakan signal di lampu isyarat di Jalan Kolam, Kota Kinabalu, seorang lelaki parah dibelasah. 

Mangsa dikatakan mengalami cedera di bahagian kepala dan tangan, selain patah tujuh batang gigi dalam insiden berkenaan. 

Dalam kejadian 10 malam itu, mangsa berusia 21 tahun yang memandu Honda S660 dikatakan berselisih dengan Perodua Alza.

Bagaimanapun, ketika berada di lampu isyarat, mangsa dikatakan menegur pemandu berkenaan kerana tidak memberikan isyarat untuk masuk ke lorong laju.

Akibat teguran itu, keadaan menjadi tidak terkawal sehingga pemandu Perodua Alza terbabit dikatakan bertindak memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan batang besi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mengikut laporan yang diterima, suspek turut dikatakan memukul mangsa di kepala dan tangan menggunakan batang besi yang sama. Suspek kemudian masuk semula ke dalam kenderaannya dan terus meninggalkan lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera dibantu oleh orang awam untuk keluar dari kenderaan sebelum menghubungi ahli keluarga dan dibawa mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

“Setakat ini, suspek berusia 36 tahun itu sudah dikenal pasti dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan,” katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button