Buletin

DIESEL EURO 5 GANTI DIESEL EURO 2M MULAI HARI INI

Pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 bagi menggantikan minyak diesel Euro 2M akan bermula hari ini. Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Tarikh asal bagi pelaksanaan minyak diesel berspesifikasi Euro 5 sepatutnya pada 1 September tahun lalu. Namun, atas keprihatinan kerajaan, Jemaah Menteri pada 10 Jun tahun lalu bersetuju menangguhkan pelaksanaannya pada 1 April ini susulan kekangan di pihak industri dan pandemik Covid-19.

“Justeru, semua syarikat pengeluar, pembekal dan stesen minyak dikehendaki mematuhi pelaksanaan ini selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) 2007 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) (Pindaan) 2021.

“Pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 adalah salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan status kualiti udara seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Udara Bersih 2010 (Clean Air Action Plan),” katanya.  \

Enjin berteknologi baharu yang mematuhi standard pelepasan Euro 4 ke atas memerlukan minyak yang lebih bersih untuk beroperasi secara optimum dan cekap. Sekali gus dapat mengawal pelepasan asap serta gas pencemar daripada ekzos.

Pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 di seluruh negara dilihat akan dapat menambah baik status kualiti udara kerana Euro 5 adalah diesel dengan kualiti yang lebih bersih dan kandungan sulfur lebih rendah.

“Kandungan sulfur dalam Euro 5 adalah 10 part permillion (ppm) berbanding Euro 2M yang mempunyai kandungan sulfur sebanyak 500 ppm,” katanya.- K!ONLINE

Google ads
"
"
Back to top button