Buletin

BEKAS PENGURUS KEDAI AUTO DAPAT GAJI TERAKHIR 91,500 SYILING

Seorang lelaki mendapat gaji terakhir dalam bentuk 91,500 keping syiling yang dituang minyak selepas berhenti dari pekerjaannya.

Andreas Flaten berkata, syarikat tempatnya bekerja iaitu A OK Walker Autoworks tidak membayar gajinya berjumlah AS$915 (RM3,794) ketika dia berhenti.

Lebih malang, syarikat itu turut menuang minyak pada timbunan duit syiling itu sebelum memberikan kepada Flaten.

Flaten, 26, yang tinggal di Fayetteville, Georgia, turut menerima nota kata-kata kesat selepas majikannya itu berang dengan tindakan lelaki itu menuntut gajinya.

Flaten menerima wang dari bekas tempat kerjanya selepas dia menghubungi Jabatan Tenaga Kerja mengenai pembayaran akhir yang lewat dari A OK Walker Autoworks.

Teman wanitanya, Olivia Oxley mengatakan dia agak kesal mengenai situasi itu yang seolah-olah mereka begitu terdesak untuk mendapatkan wang tunai.

“Kami pulang ke rumah dan menemui timbunan wang syiling dituang dengan minyak di laluan rumah kami.

“Itu sebenarnya bukan keseluruhan gaji dan mereka perlu membayar komisen setiap akhir bulan, jadi mereka masih berhutang,” katanya kepada agensi media tempatan.

Katanya, setakat ini, Flaten sudah membersihkan sekitar AS$5 (RM20) dengan mengelap minyak itu yang memakan masa dua jam.

“Dia bekerja kerana memerlukan wang dan sekarang dia harus mengusahakan wangnya lagi dengan membersihkannya daripada minyak,” katanya.

Pemilik kedai itu, Miles Walker ketika ditemubual dengan WGCL-TV, mengatakan dia tidak ingat meninggalkan wang itu di laluan rumah Flaten.

“Saya tidak begitu ingat. Tidak mengapa, dia sudah dibayar, itu yang penting,” katanya.  – agensi

Google ads
Back to top button