Motosikal

LELAKI MAUT DISERANG SAKIT JANTUNG KETIKA BERBASIKAL

Seorang lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung ketika sedang berbasikal bersama rakannya di jalan besar berdekatan Jambatan Kampung Baru Kuala Dipang, Kampar Perak semalam.

Kakitangan Majlis Daerah Kampar,Azeril Sahaharuddin, 44, ditemui terbaring tidak sedarkan diri di tepi jalan pada pukul 5.50 petang.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, mangsa sebelum itu bersama tiga rakan sekampungnya berbasikal dari Batu Karang ke Kampung Baru Kuala Dipang.

Saksi yang bersama mangsa ketika kejadian memberitahu, setibanya di jambatan tersebut, lelaki itu dipercayai tidak dapat mengawal basikalnya lalu terjatuh dan tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk rawatan namun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Adik mangsa memaklumkan bahawa abangnya menghidap penyakit kencing manis dan gout sejak lima tahun lalu, selain menjalani rawatan di Hospital Kampar sekali setiap bulan.

Dia juga memberitahu abang dan ahli keluarganya tidak dijangkiti Covid-19. Jadi nama mereka tiada dalam Sistem E-Notifikasi dan Sistem E-Covid.

“Bedah siasat telah dijalankan dan mendapati tiada unsur jenayah ke atas mangsa. Punca kematian akibat penyakit jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – K! ONLINE

Google ads
Back to top button