
BERMODALKAN RM71K, PELAKON UBAH VAN AMBULANS JADI RUMAH BERGERAK
Tidak semua kanak-kanak bermimpi tinggal di istana. Buktinya, seorang pelakon bernama Eli Young, telah mengubah sebuah van ambulans menjadi kediamannya.
Dia membeli van ambulans itu selepas menemui laman web lelongan harta kerajaan. Menurut ceritanya, ketika mendapat van tersebut, masih terdapat gaun perubatan serta jarum berisi cecair di dalamnya.
Setelah bekerja keras selama tujuh bulan, Eli membina semula bahagian kabin ambulans tersebut dengan memasukkan katil bersaiz penuh yang boleh dilipat ke dinding. Turut dipasang ialah dapur mini, ruang kerja serta pancuran mandian air panas.

Secara keseluruhannya, pengubahsuaian itu menelan kos sekitar AS$15,000 (RM71,212). Ini termasuk tambahan cukai sebanyak AS$1,000 (RM4,747) dan pendaftaran pembelian pada nilai AS$4,000 (RM18,990).
Selama tiga minggu pada Oktober, Eli telah membawa rumah mudah alih baharunya ke pelbagai lokasi di New York City ketika dia bekerja sebagai juru elektrik audio di Broadway.
Eli berkata dia membelanjakan purata AS$350 (RM1,661) untuk bahan api dan AS$100 (RM474) untuk insurans setiap bulan, hanya sekitar 12 peratus daripada purata sewa untuk satu bilik tidur di New York.
“Saya menyewa apartmen sendiri, membuang seribu ringgit sebulan untuk sesuatu yang berkulat, tiada penghawa dingin, tiada air panas dan keselamatan tidak terjamin. Saya benar-benar muak,” katanya.
Tanpa beban sewa, Eli memberitahu dia kini bebas untuk mengikuti pertunjukan lakonan di seluruh negara serta melakukan aktiviti lain merentasi kawasan Midwest.



