BIDAAN NOMBOR PLAT SUDAH BERMULA & INI YG ANDA PERLU TAHU
JPJeBid merupakan pelaksanaan inisiatif pembangunan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan Malaysia telah memutuskan pelaksanaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid ) dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan dilaksanakan pada 15 April 2019.
Pelaksanaan JPJeBid dijalankan secara perluasan skop sistem mySIKAP iaitu di bawah menu Pengurusan Nombor Pendaftaran.
Proses-proses di dalam JPJeBid meliputi proses pengiklanan, pendaftaran, bidaan, bayaran dan juga ketetapan aplikasi dan akaun. Semua proses ini perlu dilakukan secara kendiri oleh pembida terlibat dan akan dikawal selia oleh pihak JPJ.
Proses-proses di dalam JPJeBid ini menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat, mesra pengguna dengan menawarkan elemen-elemen yang berteraskan User Experience (UX) yang ringkas, meningkatkan kecekapan proses bidaan secara manual kepada secara dalam talian, persekitaran keselamatan sistem yang terjamin dan kebolehan mengakses sistem JPJeBid secara Online Real Time dimana-mana sahaja tanpa mengira masa.
Pelaksanaan inisiatif pembangunan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid ) merupakan langkah strategik JPJ yang wajar dilaksanakan dan memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara. Melalui pelaksanaan JPJeBid pengurusan nombor kenderaan dapat dipertingkatkan dan diperkemaskan dengan hanya melalui sistem urusniaga dalam talian.
1. Siapakah yang dibenarkan untuk mendaftar dan menggunakan portal JPJeBid?
Berikut ialah kategori orang awam/Perniagaan/Syarikat (SYT) yang dibenarkan untuk mendaftar di Portal JPJeBid:
i) Individu: Penduduk Tetap Malaysia (PTM) dan Orang Awam Malaysia (MAL) yang berumur 18 tahun dan ke atas.
ii) Perniagaan/Syarikat: Perniagaan/Syarikat yang berdaftar.
2. Apakah syarat untuk mendaftar dan menggunakan portal JPJeBid?
Individu/Perniagaan/Syarikat yang layak mestilah mempunyai rekod atau transaksi di dalam Sistem mySIKAP.
3. Bagaimana caranya untuk mendapatkan ID bagi membolehkan saya mendaftar dan menggunakan portal JPJeBid?
Individu/Perniagaan/Syarikat yang layak yang tidak mempunyai rekod atau transaksi di dalam Sistem mySIKAP perlu mendaftar di mana-mana pejabat Negeri dan cawangan JPJ kecuali UTC terlebih dahulu. Sila kemukakan salinan dokumen pengenalan diri mengikut kategori:
i) Individu: Satu salinan kad pengenalan/passport/sijil kelahiran/resit pengenalan sementara yang masih berkuat kuasa
ii) Perniagaan pemilik tunggal atau perkongsian:
a. Satu salinan Sijil Pendaftaran Perniagaan – Borang D (nama syarikat,maklumat dan maklumat pemilik); atau
b. Satu salinan Lesen Perniagaan (Sabah dan Sarawak sahaja)
c. Surat wakil syarikat sekiranya wakil syarikat yang hadir untuk membuat pendaftaran.
iii) Syarikat Sdn. Bhd:
a. Satu salinan Borang 9 atau Borang 13 dan Borang 49 atau Borang Seksyen 58.
b. Surat wakil syarikat sekiranya wakil syarikat yang hadir untuk membuat pendaftaran.
* Sila pastikan anda telah menerima email pengesahan daripada Sistem mySIKAP sebelum membuat capaian di Portal JPJeBid. Anda juga disarankan menggunakan akaun emel yang aktif dan peti masuk yang sedia menerima sebarang notifikasi.
4. Bagaimanakah sekiranya terdapat perubahan maklumat butir peribadi setelah pendaftaran dilakukan di portal JPJeBid?
Sebarang kemaskini butir peribadi tidak boleh dibuat didalam portal JPJeBid tetapi mestilah dibuat di pejabat Negeri dan cawangan JPJ kecuali UTC.
5. Apakah browser yang sesuai untuk menggunakan portal JPJeBid?
Orang awam atau pengguna portal JPJeBid disarankan untuk menggunakan browser Chrome Version 73 , Internet Explorer 11 atau Android Version 6 dan ke atas untuk paparan yang lebih baik.
6. Apakah fi dan caj yang dikenakan untuk transaksi bidaan?
RM 10.00 akan dikenakan sebagai caj perkhidmatan bagi setiap nombor pendaftaran yang dibida. Fi berkenaan merupakan hasil Kerajaan dan tidak akan dikembalikan.
7. Bilakah bidaan untuk Nombor Kenderaan “FC” berlangsung?
Tempoh Bidaan untuk Nombor Pendaftaran FC bermula 15 April 2019, 1000hrs dan tamat pada 19 April 2019, 2359hrs.
* Anda digalakkan untuk melakukan membida awal untuk kelancaran semua proses. Elakkan aktiviti bidaan disaat akhir bagi mengelakkan gangguan bayaran.
8. Adakah pembida perlu meletakkan deposit?
Tiada deposit diperlukan tetapi pembida harus membayar harga minima atau lebih dari harga minima bagi setiap kategori nombor kenderaan yang dibida pada kali pertama.
9. Bagaimana penentuan harga bidaan dikira?
Setiap nombor kenderaan memerlukan satu bayaran minima mengikut jadual di bawah :
Kategori | Harga Minima (RM) | Kenaikan Bidaan Minima (RM) |
Nombor Bernilai Utama | 20,000.00 | 1,000.00 |
Nombor Menarik | 3,000.00 | 150.00 |
Nombor Popular | 800.00 | 40.00 |
Nombor Biasa | 300.00 | 15.00 |
Setiap amaun bidaan pertama yang dibida mestilah sama atau melebihi harga minima yang ditetapkan mengikut kategori.
Peningkatan minima bidaan adalah 5% dari amaun harga minima mengikut kategori nombor dengan ketiadaan had untuk peningkatan maksimum.
Formula :
5% X Harga Minima Bidaan = Kenaikkan Harga Minima
Harga Minima Bidaan + Kenaikan Harga Minima = Jumlah Bidaan
Contoh :
Kategori | Harga (RM) | bidaan Minima | Kenaikan Pertama | Kenaikan Kedua | Kenaikan Ketiga |
No Utama | 20,000 | 1,000.00 | 21,000.00 | 22,000.00 | 23,000.00 |
No Menarik | 3,000.0 | 150.00 | 3,150.00 | 3,300.00 | 3,450.00 |
No Popular | 800.00 | 40.00 | 840.00 | 880.00 | 920.00 |
No Biasa | 300.00 | 15 | 315.00 | 330.00 | 345.00 |
Peningkatan amaun minima ada dipaparkan pada halaman bidaan sebagai rujukan.
Segala transaksi semasa bidaan adalah menggunakan kaedah Pre- Authorization
10. Apakah had untuk membida?
Tiada had untuk membida. Walau bagaimanapun, setiap individu hanya layak menjadi pemenang untuk maksimum tiga (3) nombor kenderaan manakala bagi Perniagaan/Syarikat adalah lima (5) nombor kenderaan bagi setiap siri.
11. Bolehkah pembida menarik balik bidaan?
TIDAK. Pembida tidak dibenarkan menarik balik bidaan sepanjang tempoh bidaan berlangsung.
12. Adakah pembida akan menerima apa- apa makluman semasa tempoh bidaan?
Ya, segala aktiviti yang melibatkan nombor pendaftaran kenderaan yang dibida akan dikemaskini di dalam peti masuk
13. Bilakah keputusan bidaan diumumkan?
Keputusan bidaan akan diumumkan selepas proses bidaan ditutup pada 20 April 2019, 1200hrs.
14. Bagaimana untuk mengetahui jika pembida telah menang/gagal bidaan?
Pentadbir sistem akan menghantar e-mel makluman kepada pembida untuk memaklumkan status bidaan samada berjaya atau gagal. Keputusan bidaan juga boleh dilihat di portal JPJeBid melalui carian nombor kenderaan yang dibida sahaja.
15. Bagaimanakah keadah pembayaran bidaan dilakukan?
Pembida hanya boleh melakukan pembayaran bidaan melalui kad kredit tempatan (Local Creadit Card Issuer) sahaja.
16. Bolehkan pembida menggunakan lebih dari satu kad kredit semasa membuat tambahan bida?
Pembida boleh menggunakan lebih dari satu kad kredit untuk membuat tambahan bidaan.
17. Apa yang berlaku pada bayaran bidaan jika bidaan pembida berjaya?
Jika bidaan berjaya, amaun bidaan akan ditolak dari kad kredit pembida dengan serta-merta.
18. Apa yang berlaku pada amaun bidaan jika bidaan pembida tidak berjaya?
Pembatalan transaksi oleh pihak bank akan dilakukan dan amaun akan dikreditkan semula ke kad kredit pembida. Tiada caj yang akan dikenakan.
19. Berapa lamakah tempoh penyelesaian pembayaran bidaan sekiranya bidaan pembida tidak berjaya?
Amaun penyelesaian bayaran akan dikreditkan ke kad kredit pembida selepas keputusan diumumkan berdasarkan pematuhan T+1 (hari bekerja) bergantung kepada bank pengeluar kad kredit Credit Card Issuer
20. Sekiranya pembida mengalami masalah berkaitan kad kredit seperti transaksi penolakan dan bayaran balik, kepada siapakah harus pembida rujuk?
Sekiranya terdapat sebarang masalah yang melibatkan kad kredit, pembida boleh terus berhubung dengan bank pengeluar kad kredit Credit Card Issuer
21. Apakah dokumen yang perlu dibawa ke JPJ bagi proses pendaftaran nombor kenderaan?
Pemenang boleh hadir sendiri ke JPJ ataupun mana- mana wakil pemenang dan perlu membawa dokumen seperti dibawah:
i) Cetakan E-mel Surat Keputusan Berjaya Bidaan
ii) Salinan Kad Pengenalan/Salinan Identiti Pengenalan Syarikat
22. Apakah tempoh akhir bagi pendaftaran nombor kenderaan?
Tempoh akhir bagi pendaftaran nombor kenderaan adalah 12 bulan dari tarikh pengeluaran Surat Tawaran.
23. Apakah yang akan berlaku jika pendaftaran nombor kenderaan tidak dilakukan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pengeluaran Surat Tawaran?
Surat Tawaran yang diberikan akan dianggap luput dan tidak sah. Bayaran yang telah dibuat TIDAK akan dikembalikan dan menjadi hasil Kerajaan.
24. Apa yang berlaku jika pembida tidak mahu menerima nombor pendaftaran yang dimenangi?
Nombor pendaftaran kenderaan yang dimenangi akan ditarik balik tanpa sebarang notis dan bayaran yang telah dibuatTIDAK akan dikembalikan dan menjadi hasil Kerajaan.
25 Adakah nombor kenderaan yang dimenangi boleh ditukar nama?
Nombor kenderaan yang dimenangi boleh ditukar nama kepada keluarga terdekat sahaja iaitu ibu/bapa/suami/isteri/ adik beradik/anak dengan mengemukakan sijil kelahiran, sijil nikah dan dokumen lain yang berkaitan ketika membuat pendaftaran kenderaan. Pertukaran nama melibatkan Syarikat/ Pertubuhan/ Koperasi TIDAK dibenarkan.
26. Adakah nombor kenderaan yang dimenangi boleh dibuat permohonan lanjutan tempoh pendaftaran?
Permohonan lanjutan tempoh pendaftaran TIDAK dibenarkan.
27. Apakah yang perlu dilakukan jika pembida lupa kata laluan untuk log masuk ke portal JPJeBid?
Pembida boleh menetapkan semula kata laluan dengan memilih e-mel atau nombor telefon yang didaftarkan melalui cara berikut:
i) Pada e-mel: Klik lupa kata laluan pada skrin log masuk, kemudian masukkan nama ID pengguna, alamat e-mel yang didaftarkan dan ikuti arahan pada skrin berkenaan. Kata laluan baru akan dihantar pada e-mel berdaftar pembida.
ii) Pada telefon mudah alih: Klik lupa kata laluan pada skrin log masuk, kemudian masukkan nama ID pengguna, nombor telefon yang didaftarkan dan ikuti arahan pada skrin berkenaan. Kata laluan baru akan dihantar pada nombor telefon berdaftar pembida melalui SMS (caj akan dikenakan dan ditanggung oleh pembida).
28. Apakah saluran yang saya boleh hubungi sekiranya terdapat apa- apa pertanyaan lanjut dan masalah berkaitan sistem JPJeBid?
Anda boleh menghubungi:
i) Bahagian Perlesenan Kenderaan Ibu Pejabat Putrajaya
Telefon : 03-8892 1186/1476/1456
ii) Customer Care & It Support
E-mel : [email protected]
iii) Mana-mana kaunter JPJ yang berdekatan