
BIMBANG AVTOVAZ JADI MILIK NEGARA, RENAULT ENGGAN KELUAR DARI RUSIA
Ketika semakin banyak pengeluar kenderaan menghentikan sementara produksi kilang masing-masing di Rusia, Renault bagaimanapun mengambil pendekatan berbeza.
Pengeluar dari Perancis itu dilihat enggan mengeruhkan hubungan dengan Kremlin. Alasannya mudah, Renault menguasai 68 peratus saham dalam AvtoVAZ yang bertanggungjawab menghasilkan kereta jenama Lada yang popular di Rusia.
Melalui saham itu, Renault mengawal sekitar 30 peratus pasaran automotif Rusia dan menggaji hampir 40,000 pekerja tempatan. Keadaan disulitkan lagi apabila kerajaan Perancis memiliki 15 peratus saham dalam Renault. Manakala Rusia menerima 10 peratus keuntungan Renault.
Baru-baru ini, sumber memberitahu Renault enggan keluar dari Rusia kerana kos yang tinggi dan tidak mahu AutoVAZ menjadi milik kerajaan Rusia. Sehingga kini, kerajaan Perancis masih tidak memberi sebarang kenyataan tentang Renault di Rusia.
Menteri Kewangan Perancis, Bruno Le Maire bagaimanapun menyatakan syarikat swasta berhak membuat keputusan sendiri tentang perniagaan mereka di negara tersebut.
Firma penyelidikan Alphavalue menjangkakan kemungkinan untuk Renault menyerahkan sahamnya kepada AutoVAZ adalah rendah. Ia juga meletakkan nilai kerjasama kedua-dua syarikat itu kini kepada kosong berdasarkan kepada risiko geopolitik berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Sekatan Barat terhadap ekonomi Rusia juga dijangka membuatkan permintaan terhadap kenderaan baharu akan turun secara drastik.