,
Buletin

RENAULT CLIO V6 NAK DILEPASKAN, ANGGARAN RM216K – RM324K!

Selain memerhatikan bidaan kereta rare di Jepun, sesi di United Kingdom juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Kereta yang benar-benar terhad dan disimpan rapi keluaran benua Eropah dipamer untuk dibida.

Bukan setakat edisi istimewa, ada kereta yang ditawarkan dimiliki personaliti dan individu terkenal.

Ini ada sebuah model istimewa yang ditawarkan oleh pembida kereta klasik dalam talian iaitu The Market di UK. Kuning menyerlah, Renault Clio V6 Phase 2 yang hanya dikeluarkan sebanyak 354 unit sahaja bagi pemanduan sebelah kanan.

Tempoh bidaan dalam talian dibuka dari 18 hingga 24 Jun 2020.

Menarik tentang unit ini ialah hanya dimiliki seorang individu sahaja dengan jarak perjalanan hanya 12,231 kilometer sahaja. Unit ini berada di dalam keadaan baik dan tidak dibawa keluar semasa hujan dan disimpan sepanjang pemilikannya.

Clio ini semasa pelancarannya pada tahun 2003 merupakan hatchback paling berkuasa di dunia dengan enjin 3.0 liter V6, enam kelajuan manual dan kelajuan maksimum melebihi 241 km/j.

Berdasarkan status satu daripada model Renault yang berkuasa dan paling dicari, The Market menganggarkan nilai model ini dari £40,000 (RM216,,428) hingga £60,000 (RM324,642).

Clio V6 dibangun dan dibina oleh Tom Walkinshaw Racing (TWR) di Uddevalla, Sweden. Model ini hanya mempunyai dua kerusi dengan enjin di tengah yang dipadan bersama transmisi nisbah singkat Quaife dan memacu roda belakang.

Model Phase 2 berbeza dengan Phase 1 dari segi pembaikan pengendalian dan prestasi. Enjin 3.0 liter V6 berkuasa 252bhp dan mampu memecut dari 0 hingga 60 bsj (97km/j) dalam masa 5.9 saat sahaja.

Unit ini didaftar pada 1 September 2005 dengan nombor siri 304 daripada 354 bagi pemanduan sebelah kanan. 

Satu lagi kisah menarik apabila pemiliknya berusaha keras bagi mendapatkan unit dengan warna Liquid Yellow. Unit ini juga dipandu seperti biasa untuk beberapa tahun sebelum disimpan.

Sekarang ia hanya dipandu untuk dibawa ke penampilan tahunan acara Festival Kereta Klasik Tewkesbury.

Selain enjin berkuasa, Clio ini menyerlah dengan casis lebar, paip ekzos berkembar, liang kemasukan udara belakang, roda aloi 18 inci dan logo Renault Sport.

Bahagian dalam dilengkapi kerusi Renault Sport dengan balutan kulit hitam dan suede yang masih kelihatan baharu. Turut dilengkapi ialah stereng balutan kulit, injak warna perak, karpet hitam, kemasan pintu hitam suede dan pelekat ambang pintu Renault Sport.

Mereka yang berminat boleh menghubungi The Market di UK dan bayaran hanya dikenakan untuk harga yang dimenangi tanpa bayaran tambahan yuran bidaan.

Tags
Google ads
Back to top button