Buletin

BIMS 2018: HONDA CIVIC HATCHBACK RALLYE RED, BR-V SPORT PACKAGE & BRIO AMAZE SPORT EDITION

Pada acara Bangkok International Motor Show 2018 (BIMS 2018), Honda Honda Automobile (Thailand) Co., Ltd. ada mempamerkan beberapa model di ruang pamerannya.

Namun, apa yang menarik perhatian ialah Honda Civic Hatchback yang didatangkan dalam warna baharu iaitu merah (Rallye Red).

Civic Hatchback Rallye Red

Tampil sebagai sebuah model premium yang sporty, Civic Hatchback Rallye Red didatangkan dengan beberapa ciri tambahan.

Antaranya ialah sistem keselamatan Lane Watch, meter TFT serta sistem infotaimen yang kini hadir dengan ciri AppleCarPlay.

Civic ini bagaimanapun masih menggunakan enjin 1.5 liter VTEC TURBO berkuasa 173hp. Harga yang ditawarkan ialah 1,169,000 baht (RM145,600) seunit.

BR-V Sport Package

Selain Civic Hatchback Rallye Red, pengunjung dhidangkan dengan model BR-V yang lebih sporty. MPV/SUV tersebut dilengkapi aksesori Sport Package Modulo yang terdiri daripada spoiler belakang, lampu nyalaan siang (DRL), pelindung pada bampar hadapan dan belakang serta pemijak sisi.

Semua aksesori itu ditawarkan pada harga istimewa 29,900 baht (RM3,724).

Varian baharu, V+ juga diperkenalkan dan hadir dengan nilai terbaik. Ia merupakan hasil maklum balas daripada pelanggan yang mahukan lebih banyak ciri keselamatan dan keselesaan.

Antara ciri yang ditambah ialah cermin sisi elektrik, sistem audio dengan skrin sentuh bersaiz 6.1 inci dan kamera undur. BR-V V+ berharga 755,000 baht (RM94,043) seunit. Manakala varian SV pula berharga 820,000 baht (RM102,118) seunit.

Honda Brio Amaze Black Sport Edition

Ini ialah versi premium kereta eco Honda yang cuba tampil lebih sporty. Honda Brio Amaze Black Sport Edition dilengkapi gril hadapan, rim aloi dan Aero Package   berwarna hitam berkilat.

Tidak ketinggalan ialah skirting Modulo, pelekat berwarna oren dan hujung ekzos tahan karat.  

Untuk pasaran Thailand, Honda Brio Amaze didatangkan dalam dua varian. Varian V berharga 517,000 baht (RM64,330), manakala varian Black Sport pula 579,000 baht (RM72,070) seunit. 

GALERI

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button