Buletin

BIMS 2023: BYD PERKENAL MPV ULTRA MEWAH DENZA D9. LEBIH BESAR DARIPADA ALPHARD, 600KM SEKALI CAJ

BYD menjadikan acara Bangkok Motor Show 2023 sebagai peluang untuk memperkenalkan MPV EV ultra-mewah keluarannya, Denza D9. BYD bagaimanapun tidak bercadang menjual model itu dalam masa terdekat di Thailand.

Berkonsepkan ‘Into the Meteor Arrow’, Denza D9 mempunyai dimensi 5,250mm panjang, 1,960mm, 1,920 dan jarak roda 3,110mm.

Untuk rekod, Denza D9 lebih kecil sedikit berbanding Hyundai Staria tetapi jauh lebih besar daripada Toyota Alphard.

Menjengah ke dalam kabin, ia dikemaskan dengan kulit Nappa, suede dan venir kayu. Tidak ketinggalan ialah sistem pencahayaan 148 warna, skrin kluster digital 3D bersaiz 10.25-inci serta skrin infotainmen 15.6-inci yang disokong oleh sistem audio Dynaudio 14-pembesar suara.

Tempat duduk baris kedua juga disertakan dua tambahan skrin bersaiz 12.8 inci. Perincian lain termasuklah tempat duduk baris kedua boleh dilaraskan 10 hala, ciri urutan elektrik 10 poin dan slot pengecasan tanpa wayar.

Beralih ke trenkuasa, terdapat dua versi Denza D9 untuk pasaran China iaitu versi plug-in hybrid (PHEV) dan versi elektrik.

Bagi versi PHEV, ia dipacu oleh enjin turbo 1.5 liter yang menghasilkan 138hp dan tork 231Nm yang dipadankan dengan motor elektrik bersama tiga pilihan output kuasa iaitu 300hp, 345hp dan 406hp.

Menerusi pek bateri Ternary Lithium berkapasiti 40.06 kWj, ia membolehkan jarak gerak elektrik sepenuhnya sehingga 180km.

Untuk versi elektrik pula, terdapat pilihan rangkaian kuasa motor elektrik tunggal (312hp/360Nm) bersama pek bateri Blade 103.36kWh dengan jarak gerak sejauh 620km pada satu pengecasan penuh.

Pembeli juga boleh mendapatkan versi motor elektrik berkembar pacuan semua roda (AWD), menjana 374Hp dan 470Nm, serta dipadankan dengan pek bateri Blade 103.46 kWh, jarak gerak maksimum sekitar 600km.

GALERI

Google ads
Back to top button