
BYD QIN PLUS DM-I CHAMPION EDITION 2023 TERIMA 15,782 TEMPAHAN DALAM 3 HARI – APA YANG POWER SANGAT KERETA NI?
Hanya tiga hari selepas pelancarannya di China, BYD Qin Plus DM-i Champion Edition 2023 telah menerima kira-kira 15,782 tempahan. Tersedia dalam lima varian, ia ditawarkan pada harga sekitar AS$14,600 – AS$21,400 (RM63,969 – RM93,764).
Faktor utama pelanggan menempah BYD Qin Plus DM-i 2023 ialah harganya. Ini adalah kali pertama harga model DM-i berharga kurang daripada RM100,000.
Qin Plus DM-i 2023 menawarkan dua jarak tempuh NEDC sejauh 55km dan 120km. DM-i ialah sistem hibrid BYD yang dibangunkan untuk PHEVnya, memberi tumpuan kepada penggunaan bahan api ultra-rendah.

Qin Plus DM-i mempunyai dimensi 4765/1837/1495mm dengan jarak roda 2718mm iaitu saiz yang sama dengan model semasa.
Di bahagian hadapan, gril poligon yang besar disambungkan ke lampu hadapan di kedua-dua belah serta dikemaskan dengan jalur hiasan bersalut krom di bahagian atas gril. Watak “Qin” (秦) di tengah jalur hiasan melambangkan identiti kereta tersebut.
Sementara bahagian belakang pula dipadankan dengan reka bentuk through-type taillight.

Di bahagian dalam, terdapat penambahan dua warna baharu iaitu coklat dan biru. Ia akan disertakan dengan panel instrumen LCD 8.8-inci, skrin kawalan tengah 10.1-inci atau 12.8-inci, serta stereng bawah rata tiga jejari.
Mengenai keselamatan, kereta itu akan mempunyai adaptive cruise control, lane keeping assist, lane departure warning dan brek kecemasan. Terdapat juga lapan pembesar suara, perehat tangan, dua pemegang cawan dan slot telefon.
Ciri lain termasuklah tempat duduk hadapan dengan ciri pemanas, satu kunci pintar dan satu kunci NFC (near field communication).
Qin Plus DM-i Champion Edition 2023 dikuasakan oleh sistem hibrid yang terdiri daripada bateri Blade BYD serta enjin 1.5L aspirasi biasa. Enjin itu mampu menjana kuasa 110hp dan tork 135Nm dengan kecekapan haba sehingga 43 peratus.
Motor elektrik pula menghasilkan kuasa 180hp/316Nm dan 197Hp/325Nm untuk 55km serta 120km NEDC versi jarak pergerakan elektrik sepenuhnya.
Kapasiti dua bateri litium besi fosfat ialah 8.32kWh dan 18.32kWh. Ia juga menawarkan jarak tempuh komprehensif sejauh 1,245km selain penggunaan bahan api 3.8L/100km. Qin Plus DM-i mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 7.3 saat.
- BACA: BYD MUNGKIN TAK JADI BELI KILANG FORD DI JERMAN, MAHU BINA KILANG SENDIRI DI EROPAH
- BACA: BYD SEAGULL BAKAL BERADA DI PASARAN APRIL 2023. 75HP, HARGA BERMULA RM38K
- BACA: BYD YANGWANG LANCAR MODEL U8 DI CHINA – 4 MOTOR ELEKTRIK, BOLEH TERAPUNG, BERMULA RM638K
- BACA: BYD ATTO 3 TERIMA LEBIH 1,000 TEMPAHAN DALAM TEMPOH 1O HARI







