Buletin

BIMS 2023: KAWASAKI NINJA ZX-4R, ENJIN 4 SILINDER SEBARIS, 73HP, BERMULA RM41K

Kawasaki secara rasmi memperkenalkan dua varian Ninja ZX-4R di Thailand. Motosikal dengan enjin 4 silinder itu dijual pada harga bermula 320,000 baht atau bersamaan RM41,407.

Memetik laman web Kawasaki Thailand, Ninja-ZX4R diilhamkan daripada motosikal 400cc era 1980-an dan 1990-an.

Pada era moden, enjin 400cc hadir untuk mengisi jurang di antara motosikal 250cc dan 600cc. Bagaimanapun, model 400cc sedia ada dianggap tidak mampu memuaskan jangkaan pengguna.

Ninja ZX-4R baharu melancarkan revolusi segmen 400cc yang luar biasa menerusi enjin empat silinder sebaris baharu yang berupaya menghasilkan kuasa 73hp pada 15,000 rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Untuk memastikan ketangkasannya, Ninja ZX-4R menggunakan casis dengan perkadaran sama seperti Ninja ZX-25R. Ia turut dilengkapi komponen gred tinggi seperti suspensi hadapan dan belakang yang berkeupayaan untuk memastikannya mempunyai pengendalian ideal.

Jentera berkenaan didatangkan dengan panel instrumen TFT 4.3 inci berwarna dengan ketersambungan telefon pintar, termasuk dua mod paparan iaitu normal dan circuit.

Varian Ninja ZX-4R SE pula menampilkan ciri-ciri seperti Kawasaki Quick Shifter dua hala, brek bantuan ABS dua saluran serta suspensi hadapan Showa dengan prabeban boleh laras.

Aspek keselamatan dipertingkatkan menerusi sistem brek yang terdiri daripada angkup Nissin empat omboh dengan rotor berkembar 290mm di depan dan angkup omboh tunggal dengan rotor 220mm di belakang, selain ABS dua saluran.

Di Thailand, varian Standard Ninja ZX-4R ditawarkan pada harga RM41,407 seunit. Sementara varian SE berharga RM46,651.

GALERI

Google ads
Back to top button