Buletin

BYD BAKAL LABUR RM2.2 BILION BINA KILANG PEMASANGAN DI FILIPINA

Filipina kini berada dalam senarai atas pembuat kereta elektrik kedua terbesar di dunia, BYD untuk dijadikan lokasi kilang pemasangan jenama itu.

BYD dilapor bakal melabur sebanyak AS$500 juta (RM2.2 bilion), sekali gus merebut peluang tarif sifar ke atas import, rantaian bekalan, selain boleh mengakses lombong nikel yang ada di negara berkenaan.

Menurut laporan Clean Technica, selain Filipina, antara negara lain jadi perhatian BYD ialah Vietnam dan Indonesia.

Beberapa jenama EV turut berada dalam senarai Lembaga Kajian Insentif Fiskal (FIRB), sebuah badan kerajaan yang diketuai oleh Jabatan Kewangan (DoF) Filipina dan dipengerusikan bersama oleh Jabatan Perdagangan dan Industri (DTI).

Antara Agensi lain terlibat ialah Jabatan Belanjawan dan Pengurusan (DBM), Pihak Berkuasa Ekonomi dan Pembangunan Negara (NDA), serta Pejabat Presiden.

Faktor utama BYD berminat melabur di negara itu adalah disebabkan pelaksanaan undang-undang baharu, Akta Pembangunan Industri Kenderaan Elektrik (EVIDA) Filipina.

Ia bertujuan meningkatkan penggunaan kenderaan tempatan selain menarik pembeli dengan insentif, seperti tempat letak kenderaan percuma dan faedah pendaftaran kenderaan.

Undang-undang baharu itu juga menggalakkan pengimport untuk memilih Filipina sebagai destinasi penjualan produk atau pemasangan tempatan.

Sejak EVIDA berkuatkuasa pada April 2022, kerajaan Filipina telah memperuntukkan tarif sifar kepada syarikat atau entiti yang terlibat dalam pemasangan dan penyelenggaraan stesen pengecas EV.

Melihat rekod sehingga 2020, perdagangan di antara negara dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) adalah hampir bebas tarif di bawah Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).

ATIGA terdiri daripada beberapa elemen baharu bagi memastikan negara ASEAN menjadi hab syarikat gergasi di seluruh dunia iaitu liberalisasi tarif, penghapusan halangan bukan tarif, kemudahan perdagangan dan kastam.

Google ads
Back to top button