Buletin

BYD PERKENAL DENZA N7 DI CHINA – REKAAN MACAM PORSCHE CAYENNE COUPE, HARGA MASIH MISTERI

BYD baru-baru ini mendedahkan imej rasmi Denza N7 dengan konsep reka bentuk seperti Denza Inception yang diperkenalkan pada Ogos tahun lepas.

Bercakap tentang Denza, ia sebenarnya mempunyai sejarah panjang sejak diasaskan pada 2012 sebagai usaha sama 50-50 di antara BYD dan Daimler. Namun, saham Daimler dalam Denza menurun sebanyak 10 peratus tahun 2021.

Setelah berjaya mendapatkan 90 peratus kepentingan, BYD tidak menoleh ke belakang lagi dan mencipta gelombang baharu dengan menghasilkan MPV Denza D9. Terkini, BYD memperkenalkan kenderaan kedua iaitu N7 untuk pasaran China.

Seperti yang dapat kita lihat dalam imej rasmi ini, Denza N7 kekal dekat dengan kereta konsep Inception. Tetapi masih terdapat beberapa perbezaan yang ketara. Misalnya, N7 mempunyai bampar hadapan yang lebih sporty serta unit lampu belakang berbeza.

Ciri-ciri lain pada bahagian luar Denza N7 ialah spoiler bumbung untuk memberi gaya sporty, tiang-D senget, pemegang pintu boleh ditarik balik (retractable) dan bahagian hadapan yang tertutup.

Selain itu, Denza N7 turut dilengkapi sistem LiDAR pada bampar hadapan, selain menampilkan skrin terapung agak besar dan sensor Face ID di bahagian tiang hadapan. Mungkin tidak berlebihan untuk mengatakan bahawa bahagian kabin N7 agak serupa seperti Inception.

Secara keseluruhannya, Denza N7 kelihatan mewah. Reka bentuk luarannya mengingatkan kita kepada Porsche Cayenne Coupe.

Dari segi dimensi Denza N7, BYD masih belum mendedahkan butiran terperinci. Tetapi ukurannya mungkin hampir sama dengan Denza Inception iaitu panjang 4.9 meter dan jarak roda 2.9 meter.

Denza N7 akan ditawarkan dalam dua versi iaitu EV dan PHEV dengan daya pecutan 0-100km/j mengambil masa 3 saat sahaja.

Tiada pendedahan harga dibuat oleh BYD setakat ini, namun apa yang pasti ialah N7 akan memasuki pasaran tahun ini dan akan bersaing dengan AITO M5 serta NIO EC7.

Google ads
Back to top button