Buletin

PAKAR INDUSTRI BERI AMARAN KEPADA BYD – JANGAN SERONOK SANGAT!

Jika sebelum ini bos BYD, Wang Chuanfu pernah berseloroh dengan menyatakan bahawa nama BYD adalah singkatan daripada ‘Bring You Dollars’ namun hakikatnya, kini pembuat kereta China itu perlu berhadapan dengan cabaran untuk mengekalkan rentak dalam industri.

BYD berjaya mencatat hasil jualan hampir 2 juta kenderaan, bersamaan dengan kira-kira satu perempat daripada EV yang dibeli di China pada 2022, meningkat tiga kali ganda berbanding 2021.

Walau bagaimanapun, persaingan semakin sengit di China kerana pembuat kereta elektrik lain akan menambah kapasiti pembuatan di negara itu dengan anggaran tambahan sebanyak 6.5 juta kenderaan setahun menjelang 2025.

Penyelidikan dari Bernstein menyatakan pengeluaran baharu di negara itu akan mengatasi permintaan. Para penyelidik meramalkan hampir 50 peratus keluaran akan menjadi produk terbiar di China menjelang 2025, berbanding sekitar 30 peratus sedekad sebelumnya.

Kemerosotan dalam perbelanjaan baru-baru ini bermakna lebihan kapasiti akan memberi kesan negatif kepada pembuat kereta.

Untuk rekod, jualan kereta elektrik jatuh 6.3 peratus pada Januari berbanding tahun sebelumnya dan penghantaran secara keseluruhan juga telah merosot lebih satu pertiga.

Ini belum lagi mengambil kira saingan yang semakin sengit, sama ada dari segi model, perincian baharu dan tawaran diskaun. Tidak menghairankan sekiranya pengeluaran kereta akan menjadi beban kepada pengeluar di penghujung hari.

Tetapi, BYD mempunyai kelebihan kerana ia juga terlibat dalam pembuatan bateri, semikonduktor, selain menguasai beberapa bahagian pasaran luar negara.  Jika BYD cukup bijak menggunakan kelebihan yang ada, BYD akan mudah melewati jalan sukar.

Google ads
Back to top button