Buletin

BIMS 2024: EV5, SATU LAGI SUV EV MENAWAN DARIPADA KIA

Selain EV9, Kia turut mempamerkan model EV5 yang dibina berdasarkan Platform Modular Elektrik-Global Kia (E-GMP) pada acara Bangkok International Motor Show (BIMS 2024).

Jentera itu dibina untuk memenuhi keperluan pengguna terhadap kenderaan elektrik dengan jarak lebih jauh dan keupayaan pengecasan pantas. Terdahulu, EV5 diperkenalkan pada acara Chengdu Motor Show 2023. 

EV5 mewakili langkah berani Kia ke dalam arena kenderaan elektrik sepenuhnya, sekali gus mengubah pasaran serta memikat pengguna muda menerusi gabungan gaya dan praktikaliti.

Menurut Kia, EV5 melambangkan komitmen jenama terhadap inovasi dan kelestarian. Bukan sahaja untuk pengalaman pemanduan bebas emisi, malah menampilkan reka bentuk yang dinamik serta berteknologi terkini.

Dari segi ukuran, EV5 memiliki dimensi sepanjang 4,615mm, lebar 1,875mm, tinggi 1,715mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,750mm.

Pengeluar Korea Selatan itu mengetengahkan konsep Bold for Nature yang merupakan salah satu tiang dalam falsafah reka bentuk “Opposites United” baharu Kia. Ia dapat dilihat dengan jelas pada bahagian luaran yang lasak, berkotak serta menggunakan lampu utama LED.

Di ruang kabin, ia dilengkapi skrin berkembar jenis terapung bersaiz 12.3-inci serta paparan 5-inci untuk kawalan suhu.

Perincian lain termasuklah butang fizikal yang dikekalkan pada tahap minimum. Selain terdapat antara muka pengguna grafik (GUI) baharu yang digunakan di antara skrin audio-visual, navigasi dan telematik (AVNT).

Bukan itu sahaja, ruang dalaman dengan reka bentuk pintar menawarkan suasana menyenangkan. Ia nyata mengambil kira kegunaan untuk keluarga dan ditambah dengan Multi-table Luggage board yang berfungsi sebagai meja.

Secara keseluruhannya, kabin KIA EV5 memberikan ruang begitu luas, terutama dengan ruang kaki dan kepala untuk baris kedua serta ruang kargo yang luas apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Untuk pasaran China, EV5 akan ditawarkan dalam 3 versi – Standard, Long Range, dan Long Range AWD.

Versi standard EV5 dilengkapi dengan pek bateri LFP Blade 64.2kWh BYD serta motor 160kW yang mampu menawarkan jarak gerak sejauh 530 kilometer.

Bagi versi Long Range pula, ia dibekalkan dengan pek bateri berkapasiti 88kWh, membolehkkanya bergerak sejauh 720 kilometer.

Bagi pasaran Korea Selatan, versi AWD standard dipasang denga bateri 58kWj dan motor hadapan berkuasa 160kW. Sementara varian Long Range serta Long Range AWD dipadankan Bersama bateri 81kWj dan motor hadapan 160kW.

Untuk makluman, varian Long Range AWD turut disertakan bersama motor belakang 70kW tambahan, menghasilkan kuasa gabungan sehingga 225kW.

Mengenai keselamatan, EV5 dilengkapi Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) merangkumi 7 beg udara, Highway Driving Assistant (HDA) 2, Safe Exit Assist, Kia Digital Key 2, Remote Smart Parking Assist dan banyak lagi.

Barisan Kia EV5 akan tersedia di Thailand dalam empat varian dengan harga pelancaran istimewa sehingga 30 April 2024.

Perincian harga bagi setiap varian adalah seperti berikut:

  • Light: 1,249,000 baht (RM162,053)
  • Air: 1,349,000 baht (RM175,036)
  • Earth Long Range: 1,549,000 baht (RM200,986)
  • Earth Exclusive AWD: 1,749,000 baht (RM226,911)

Bagi pasaran Malaysia, KIA EV5 bagaimanapun tidak memasuki pasaran tempatan dalam masa terdekat.

GALERI:

Google ads
Back to top button