Buletin

BIMS 2024: KIA EV9, SUV ELEKTRIK 3 BARIS TEMPAT DUDUK. BAKAL TIBA DI MALAYSIA TIDAK LAMA LAGI!

KIA EV9 diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Thailand pada acara Bangkok International Motor Show (BIMS 2024) yang sedang berlangsung di Impact Muang Thong Thani. 

Untuk makluman, MPV elektrik sepenuhnya dari Korea Selatan itu telah pun membuat penampilan di Singapura pada awal Januari 2024 dan pada di acara GIIAS Indonesia pada Ogos tahun lalu.

Di Thailand, Kia EV9 yang merupakan SUV elektrik tiga baris tempat duduk pertama Kia itu dilapor bakal ditawarkan dalam dua varian iaitu Earth Long Range yang dijual pada harga sekitar RM462,150, dan varian GT-Line AWD diberi tanda harga sekitar RM506,106.

EV9 dibina di atas platform E-GMP yang mempunyai teknologi pengecasan pantas yang memerlukan masa cuma 27 minit untuk dicaj sehingga 80 peratus.

Melihat dari segi dimensi, jentera berkenaan adalah 1,750 (tinggi), 1,980mm (lebar), 5,010mm (panjang) dan jarak roda sekitar 3,100mm. Jarak kelegaan tanah juga lebih tinggi berbanding kenderaan biasa iaitu 177mm.

Dari segi penggayaan, EV9 menampilkan falsafah Opposite United dengan rekaan garang pada bahagian depan yang digelar Digital Tiger Face dan dipadankan bersama lampu utama star-map.

Di bahagian belakang pula, anda boleh lihat lampu belakang yang merentasi keseluruhan badan, sekaligus memberikannya gaya cukup futuristik.

Menjengah ke dalam kabin, EV9 menerima kelengkapan seperti skrin infotainmen berkembar bersaiz 12.3 inci dan paparan 5 inci untuk kawalan suhu. Di samping terdapat butang-butang fizikal disediakan seperti tombol pendingin hawa yang mudah untuk dioperasi.  

Secara mekanikal, kedua-dua varian EV9 hadir dengan kapasiti enam atau tujuh tempat duduk dan dilengkapi dengan bateri lithium-ion 99.8kWh.

Namun, kedua-duanya berbeza dari segi jana kuasa, di mana varian Earth Long Range dilengkapi dengan pacuan roda belakang bersama motor elektrik berkuasa 203PS dan tork 350Nm.

Sementara varian GT-Line AWD hadir dengan susun atur motor berkembar di mana setiap motor elektrik menghasilkan 192PS dan 350Nm untuk jumlah kuasa gabungan mencecah 384PS dan 700Nm.

Secara lebih terperinci, varian Earth Long Range menawarkan jarak gerak sehingga 680km. Manakala GT-Line AWD boleh menempuh jarak sehingga 647km berdasarkan pengiraan NEDC.

Mengenai pengecasan pula, KIA EV9 menyokong jenis AC, jadi untuk mengecas 10-80 peratus hanya mengambil masa 45 minit.

Menariknya, sistem vehicle-to-load (V2L) turut disediakan dan mampu menghasilkan output sehingga 3.58kW.

Bagi ciri keselamatan, EV9 dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang terdiri daripada lebih 20 ciri termasuklah sensor parkir, amaran penumpang belakang, beg udara dan banyak lagi seperti:

  • Smart Cruise Control with Stop and Go
  • Blind Spot Collision Avoidance Assist
  • Blind-Spot View Monitor
  • Rear Cross Traffic Collision Avoidance
  • Lane Following Assist with Lane Keeping Assist
  • Forward Collision Avoidance Assist
  • Safe Exit Assist

Lebih menarik lagi, jentera bersaiz besar itu hadir dengan ciri Remote smart Parking Assist 2. Ia berfungsi mengenal pasti garis parkir dan memarkir kenderaan secara automatik.

Pemandu juga boleh menggerakkan kenderaan untuk keluar atau masuk ke dalam kotak parkir dengan hanya menekan butang pada kunci kereta. Canggih betul.

Kia EV9 yang bakal dijual di Thailand adalah diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea. Penghantaran varian AWD GT-Line dilapor akan bermula April tahun ini, sementara Earth Long Range menyusul pada Jun depan.

Kalua ada yang berminat, jangan bimbang kerana Kia EV9 dijangka memasuki pasaran Malaysia pada tahun ini juga. Tunggu….

GALERI:

Google ads
Back to top button