Buletin

NISSAN KICKS 2025 TAMPIL DENGAN CIRI BAHARU – TIGA VARIAN, JANA 141HP, HARGA BERMULA RM98K

Lapan tahun selepas debut rasminya, Nissan baru-baru ini mengumumkan pelancaran Kicks generasi kedua menjelang New York International Auto Show (NYIAS).

Versi terbaru model crossover berkenaan menampilkan beberapa penambahbaikan ketara dari segi saiz dan teknologi.

Nissan Kicks generasi terbaru ini menampilkan dimensi lebih besar berbanding pendahulunya, dengan panjang 4,366mm, lebar 1,800mm dan tinggi 1,630mm.

Reka bentuk luaran kereta Kicks generasi kedua ini menampilkan gril lebar yang digabungkan dengan lampu DRL, bahagian sisi diserlahkan oleh fender berotot dan garis tingkap menonjol ke atas ke tiang D.

Dengan pelepasan tanah 213mm, Nissan Kicks mempunyai ketinggian yang didakwa paling tinggi dalam segmennya. Manakala, bahagian dalam kereta ini direka untuk keselesaan penumpang dengan tempat duduk Zero Gravity di hadapan serta belakang.

Selain itu, papan pemuka anggun Kicks juga menampilkan panel skrin lebar iaitu kluster instrumen digital tujuh inci bagi varian standard, sementara varian teratas menerima paparan bersaiz 12.3-inci.

Bukan sahaja saiz dan rupa telah dikemas kini, Nissan Kicks terbaharu juga dilengkapi dengan ciri moden seperti Apple CarPlay tanpa wayar, Android Auto, dan sistem audio Bose Personal Plus 10-pembesar suara.

Beralih pada kuasa pula, Nissan Kicks yang sebelum ini menggunakan enjin empat silinder 1.6 liter, kini telah digantikan dengan unit suntikan terus 2.9 liter, mampu menghasilkan 141hp dan tork 190Nm.

Buat julung kalinya, Kicks turut ditawarkan dengan pilihan pacuan semua roda bagi memberikan lebih fleksibiliti kepada pemandu dalam pelbagai keadaan jalan raya.

Nissan Kicks 2025 ditawarkan dalam tiga varian – S, SV, SR dan terdapat pilihan dua pakej Premium, di mana ia menyertakan ciri tambahan seperti sunroof panoramik serta sistem audio Bose 10-pembesar suara yang disepadukan ke dalam sandaran kepala hadapan.

Dari segi ciri keselamatan, semua varian akan dilengkapi dengan Nissan Safety Shield 360 ADAS Suite, merangkumi Intelligent Cruise Control.

Sementara itu, trim SR akan menawarkan ciri dipertingkatkan bagi sistem Bantuan ProPILOT yang lebih canggih.

Kicks 2025 akan memulakan pemasaran di AS dan Kanada pada bulan Ogos dengan tanda harga bermula dari AS$20,790 atau sekitar RM98,206.

Google ads
Back to top button