Buletin

PIKAP LUMBA MITSUBISHI TRITON UNTUK AXCR 2024 DIPERKENAL!

Mitsubishi mengesahkan penyertaan di dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) 2024 pada Ogos depan yang berlangsung dari Thailand ke Malaysia dengan jarak sekitar 2,000 kilometer.

Mitsubishi menyasarkan untuk memenangi perlumbaan menggunakan Triton baharu (generasi keenam) yang telah dipertingkatkan daripada tahun lalu.

Di dalam AXCR 2023 yang berlangsung pada Ogos, Team Mitsubishi Ralliart menarik perhatian dengan menggunakan tiga buah Triton generasi keenam yang baru sahaja dilancar sebulan sebelum itu.

Chayapon Yotha dari Thailand berjaya merangkul tempat ketiga keseluruhan.

Mitsubishi Ralliart turut menerima Anugerah Pasukan yang dihadiahkan kepada pasukan yang mempunyai dua atau lebih penyertaan dan kesemuanya menamatkan perlumbaan.

Anugerah turut dinilai berdasarkan masa keseluruhan dua peserta teratas.

Team Mitsubishi Ralliart belum mendedahkan butiran terperinci Triton AXCR 2024 kecuali memaklumkan jentera itu lebih baik dengan prestasi pecutan dan pengendalian yang dipertingkatkan.

Apa yang jelas, Triton 2024 kekal menggunakan warna hitam dan merah sebagai simbol lava yang memancur dan diolah semula.

Pikap ini turut tampil dengan grafik debu pada bahagian depan sehingga sisi badan. Grafik warna gunmetal yang mendominasi mewakili lava dan batuan gunung berapi.

Secara keseluruhannya, tema grafik yang dibawa adalah lambang kepada kedinamikan, kelasakan dan ketahanan Triton.

Sebagai rujukan, Triton AXCR 2023 menggunakan enjin 4N16 2.4 liter MIVEC diesel turbo yang menghasilkan 201 kuasa kuda (hp) dan tork 450Nm.

Enjin itu dipadan dengan kotak gear manual enam kelajuan dan menggunakan sistem Super Select 4WD-II dan pembeza gelinciran terhad (LSD) depan dan belakang dari CUSCO.

Penyerap hentak depan boleh laras dengan peredam berkembar belakang juga dari CUSCO.

Rim dan tayar dari WORK dan Yokohama GEOLANDAR M/T dan nampaknya sama seperti tahun ini. Brek dari ENDLESS dengan angkup empat omboh dan menggunakan bendalir FORTEC.

Lagi kelengkapan Triton AXCR 2023 seperti tukup enjin, panel pintu dan panel sisi gentian karbon.

Google ads
Back to top button