Buletin

BMW 320i SPORT 2020. KUNCI DIGITAL, RM243,800 SEUNIT

Selain model X1 sDrive20i M Sport, BMW Malaysia turut memperkenalkan varian terbaru dalam BMW 3 Series, BMW 320i Sport. 

Sedan premium itu hadir bersama lampu kabus LED dan Air Curtains yang diintegrasikan dengan salur masuk udara serta apron hadapan gayaan horizontal berbentuk T. 

Reka bentuk itu asalnya dibangunkan oleh Jawatankuasa Penasihat Aeronautik Kebangsaan (NACA) bagi komponen salur masuk udara pada enjin jet, sebelum ia menjadi sebahagian daripada rekaan kereta lumba klasik.

Varian ini dilengkapi set roda aloi ringan bersaiz 18 inci V-Spoke 780 dua tona. Pelanggan boleh mengharapkan sebuah jentera yang lebih ringan kerana berat telah dikurangkan sebanyak 30 kg berikutan penggunaan kerangka baharu. 

BMW 320i Sport menggunakan khimat enjin petrol TwinPower Turbo 2.0 liter yang dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport 8 kelajuan. Dengan kuasa 184hp dan tork 300Nm, sedan sport itu mampu mencapai kelajuan maksimum 235km/j.

Sementara pecutan dari 0-100 km/j dapat dicapai dalam masa 7.1 saat sahaja. BMW 320i Sport menggunakan bahan api 6.3 liter bagi setiap 100km.

Ruang kabin hadir dengan pendingin hawa automatik tiga zon, kemasan Aluminium ‘Mesheffect’ dan stereng sport dibalut kulit eksklusif.  Sedan itu juga dilengkapi BMW Live Cockpit Plus, kluster instrumen analog dengan paparan bersaiz 5.7 inci dan skrin sentuh 8.8 inci.

Buat pertama kali dalam segmennya, BMW 320i Sport didatangkan dengan inovasi Bantuan Mengundur.

Ia menawarkan kemudahan pemanduan separa-autonomi ketika mengundur di laluan yang sempit dan kamera undur sebagai ciri standard.

Ciri-ciri tersebut dikuasakan oleh Sistem Operasi BMW 6 dan kunci digital BMW untuk memberi tahap keselamatan terbaik. Kunci itu menggunakan teknologi NFC yang membolehkan BMW 320i Sport mengunci, menutup dan  menghidupkan enjin dengan telefon pintar. 

Senang cakap, ia tidak memerlukan kunci fizikal dan merupakan satu lagi teknologi canggih yang pertama kali diperkenalkan dalam segmen premium di Malaysia.

BMW 320i Sport ditawarkan dalam lima warna iaitu biru, hitam, putih, kelabu dan oren. Ia boleh anda miliki pada harga RM243,800 seunit. 

GALERI:

Google ads
Back to top button