
BMW iX M70 BAHARU – MUNGKINKAH INI SUV ELEKTRIK TERBAIK YANG PERNAH ADA?
Semenjak model BMW iX mula diperkenalkan di pasaran pada tahun 2021, ianya telah berjaya menarik perhatian peminat kenderaan dari seluruh dunia terutamanya untuk segmen Sports Activity Vehicle (SAV) elektrik sepenuhnya.
Dan kini pengeluar kenderaan terkemuka dunia berasal Jerman ini memperkenalkan model baharu BMW iX70 yang tampil lebih dinamik untuk berjaya meninggalkan pesaing yang lain dalam kelas yang sama dengan ciri kehalusan dan keselesaan yang tiada banding.

Secara visual, mungkin tidak jelas kelihatan apa yang baharu untuk sebuah model yang telah diberikan lencana M, apatah lagi iX M70 ini dikatakan sebagai pengganti kepada model iX M60 sebelumnya.
Akan tetapi BMW iX M70 baharu ini telah diberikan beberapa kemasan baharu untuk tampil lebih moden dan kemas. Gril berbentuk buah pinggang yang besar dan bercahaya itu masih lagi dikekalkan tetapi mempunyai bilah mendatar yang memberikan penampilan yang lebih bersih dan berstruktur. Rekaan lampu hadapan pula lebih langsing dan lampu LED menegak yang merupakan tanda pengenalannya dikekalkan.

Di bahagian sisi, pintu dengan kaca tanpa bingkai menambah penampilan mengalir keseluruhan reka bentuk tingkap sisi menyerlahkan lagi profil elegan BMW iX baharu ini. Manakala bahagian belakang hanya menerima sedikit perubahan dengan reflektor menegak di hujung bampar.
Bahagian luaran disudahi dengan penggunaan rim bersaiz 20 inci secara standard manakala pilihan rim bersaiz 21 atau pun 22 inci masih boleh dipilih berdasarkan pakej M Sport dan M Sport Pro. Dan buat pertama kalinya rim bersaiz 23 inci dengan rekaan V-Spoke juga boleh dipilih pembeli dengan menggunakan tayar yang memenuhi spesifikasi penarafan kecekapan tertinggi.

Pilihan warna pula meliputi Arctic Race Blue metallic, Dune Grey metallic, Carbon Black Metallic, Frozen Deep Grey Metallic, Frozen Pure Grey Metallic, Tanzanite Blue metallic dan Space Silver Metallic.
Trenkuasa iX M70 ini menggunakan dual motor tetapi telah menggunakan sistem perisian yang dibuat tetapan semula untuk membolehkan ianya menghasilkan kuasa 650 HP dan 1,100 Nm bersama pek bateri 108.9 kWh serta keupayaan bergerak sehingga 600 km.

BMW iX M70 baharu ini berupaya memecut daripada 0 hingga 100 km/j dalam tempoh 3.8 saat dengan kelajuan maksimum boleh dicapai adalah 250 km/j.
Aras harga yang letakkan sekitar £114,000 (RM649,834) dilihat cukup berbaloi dengan beberapa siri penambahbaikan termasuklah sistem suspensi baharu menjadikannya sebagai sebuah model SUV teratas di kalangan pesaingnya.
BACA : BMW iX xDRIVE40 SPORT, SUV ELEKTRIK MEWAH DARI JERMAN


