
MERCEDES AMG GLA 35 – NAMPAK COMEL JE….
Mercedes-AMG GLA 35 merupakan derivatif kepada model GLA, dengan perkataan GLA sendiri membawa maksuk SUV (Geländewagen). Dibina dengan platform MFA2, ia berkongsi platform dengan model A Class yang lain termasuklah sedan, kompak dan SUV
Malah platform ini juga digunakan untuk menghasilkan model GLB yang lebih besar dengan kapasiti penumpang 7 tempat duduk. Bagi model GLA, ia datang dengan rekaan ala-ala coupe ataupun hatchback A Class yang ditinggikan kepada 183mm daripada permukaan jalan berbanding dengan 104mm sahaja bagi kompak A Class
Untuk pasaran Malaysia, terdapat 4 varian GLA yang ditawarkan bermula dengan varian GLA200, GLA 250 4Matic, diikuti dengan 2 varian prestasi tinggi AMG. Ya terdapat varian GLA 35 4Matic dan juga GLA 45 4Matic yang lebih berkuasa

Menjual model prestasi tinggi dengan logo AMG bukanlah sekadar meletak logo dan menukar rim yang lebih bergaya dan besar. GLA wajib datang dengan disiplin kejuruteraan yang tinggi bagi memenuhi kehendak pembeli yang mahukan sebuah SUV kompak dan berkuasa
Perkara pertama ialah merendahkan jarak kelegaan permukaan jalan daripada 183mm kepada 157mm, lebih rendah lebih baik untuk pusat graviti kenderaan. Cesi monocoque diperkuatkan di bahagian depan bagi memberikan ketegaran platform untuk menampung lebihan kuasa enjin
Berbeza dengan model Mercedes-AMG GLB 35 yang menggunakan bar penstabil di ruangan enjin, model GLA 35 tidak memerlukan komponen ini. Sistem brek menerima cakera bersaiz 350mm dengan 4 piston manakala brek belakang menggunakan cakera brek 330mm dengan satu piston

Enjin M260 2000cc 4 silinder masih lagi digunakan, namun ia telah ditala sehingga 306PS dan juga 400Nm tork. Sistem enjin disepadukan dengan sistem mild hibrid 48 volt, dengan motor elektrik bertindak sebagai alternator, motor penghidup dan membekalkan 14 PS kepada enjin
Sistem transmisi AMG Speedshift 8 Speed Dual Clutch menjadi pilihan bagi varian AMG dengan pilihan penukaran gear manual boleh dibuat menggunakan paddleshifter. Semua kuasa dihantar ke semua roda menerusi sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic AWD
Sistem ini lengkap dengan ciri Racestart function bagi membolehkan AMG GLA 35 memecut dari 0-100 dalam masa 5.1 saat sebelum halaju dihadkan secara elektronik pada 250km/jam. Satu kelegaan besar buat penulis ialah model GLA 35 menggunakan sepasang ekzos sebenar yang dinamakan Sport Exhaust

Ya, memang ada bunyi yang jelas berbeza apabila mode pemanduan ditukar dari Comfort, Sport dan juga Sport+. Bunyi ini adalah bunyi mekanikal sebenar kerana penulis dapat mendengar perbezaan ketika berdiri di sisi enjin dan juga ketika duduk di kusyen pemandu
Bagi menjinakkan kuasa enjin, selain diberikan brek yang lebih berkuasa GLA 35 turut meneriman talaan sistem kawalan elektronik 3-stage ESP with “SPORT Handling” mode. Sistem ESP akan ditala mengikut mode pemanduan samaada Comfort, Sport atau Sport+
Malah sistem penyerap hentak juga boleh ditetapkan pada 3 mode pemanduan, namun secara realitinya penulis rasakan tiada beza antara ketiga-tiga mode. Semuanya keras dan kekerasan ini menjadi sangat logik bila dipandu dengan laju

Jadi apabila logo AMG disemat di bahagian depan dan belakang GLA, jentera GLA 35 turut disertakan dengan rekaan luaran yang lebih garang termasuklah jeriji depan AMG, rim 20 inci AMG, angkup brek merah AMG serta roofrail dengan warna perak
Untuk kemasan dalaman, sistem paparan digital Mercedes-Benz User Experience (MBUX) bersaiz 10.25 inci disertakan dengan ciri Apple Car Play & Adroid Auto tanpa wayar. Terdapat 3 poin USB C disediakan dan satu pad pengecas tanpa wayar di konsol tengah depan dengan USB di belakang tersembunyi di bawah corong penyaman udara
Roda stering GLA menerima rekaan MG Performance Nappa kulit yang tebal di bahagian kiri dan kanan untuk genggaman yang kemas selain diberikan ciri berlubang (perforated). 2 butang rotari disediakan lengkap dengan LED yang nampak bergaya bagi memudahkan pemandu memilih mod pemanduan dan menetapkan ciri pemanduan AMG

Kusyen depan pula dibalut dengan balutan kulit Artico dan Dinamica microfibre, tali pinggang keledar berwarna merah, dan skid plate AMG yang bercahaya. Namun dari segi peralatan, varian GLA 35 turut menerima perkakasan bagi menaikkan lagi status logo AMG yang digunakan
GLA 35 menerima 12 pembesar suara Burmester yang menjana sehingga 710 watt, cukup untuk menghiburkan jika anda memutuskan untuk memandu dengan halaju kebangsaan. Bunyi yang dihasilkan cukup lunak, jelas dan seimbang dari segi janaan Bass.
Sistem kamera 360 darjah cukup terang walaupun pada waktu malam, cermin pandang belakang automatik, pilihan warna kabin 64 warna, sistem pemantauan tekanan angin tayar, park assist, dan juga sistem penunjuk arah yang turut diaktifkan sekiranya anda menggunakan Google Map

Penulis memulakan perjalanan dengan menempuh kesesakan jalan raya pada petang Jumaat menuju ke luar ibu kota, ia bukanlah laluan yang idea untuk menguji keupyaan jentara GLA 35. Transmisi AMG Speedshift 8 Speed Dual Clutch, nampaknya kurang selesa dengan trafik yang sesak dengan kondisi berhenti sepenuhnya dan bergerak semula
Sistem Parktronic juga sesekali diaktifkan secara automatik apabila kenderaan menjadi rapat antara satu sama lain. Kamera juga akan diaktifkan apabila berhenti di persimpangan lampu isyarat, merekod secara automatik dan memaparkan keadaan trafik, bagus jika ada orang terlanggar kenderaan secara tak sengaja.
Malah sistem brek kecemasan automatik dengan cekap menghentikan GLA 35, walaupun pada ketika kejadian penulis baru berniat untuk menekan pedal brek. Brek kecemasan GLA 35 cukup berkuasa, menyebabkan penumpang depan terjaga daripada tidur

Memandu di jalan bandar juga menguji keupyaan stering dan kenderaan untuk melakukan pusingan u, dan penulis mendapati GLA 35 dengan sistem pacuan semua roda sukar untuk mendapatkan pusingan U dengan jejari yang kecil sama seperti Kia Sportage dan Volkswagen Golf R.
Laluan bandaraya yang berlubang dan beralun juga menyebabkan suspensi McPherson di roda depan dan Multi-Link di roda belakang bekerja dengan keras. Walaupun menggunakan tetapan Mode Comfort, namun GLA 35 tetap melantun-lantun. Tak masuk akal langsung guna penyerap hentak keras di kawasan bandar
Namun sebaik sahaja halaju GLA 35 meningkat melebihi halaju kebangsaan, maka semua perkakasan AMG yang dipasang mula masuk akal. Enjin M260 terasa sangat bersahaja pada halaju 110km/jam, mencatatkan RPM dibawah angka 2000 termasuklah pada halaju 120km/jam

Jika dipandu secara berhemah, purata bacaan bahan api ialah sekitar 11.8km/liter, satu angka yang boleh dipuji dari jentera prestasi tinggi dengan sistem pacuan semua roda. Namun memandu perlahan bukanlah tujuan GLA 35 dihasilkan selain untuk menikmati kualiti bunyi sistem audio Bumester 700watt
GLA 35 perlu dipandu laju seperti anda mempunyai DNA Jerman, menawarkan kualiti pemanduan untuk dipandu di Autobahn atau Nurbuguring. Semua ciri kejuruteraan yang ada pada GLA 35 membenarkan dipandu dengan laju secara bersahaja
306PS dan 400Nm tork dengan logo AMG menjadikan GLA 35 sebuah jentera ganas, untuk kegunaan Lebuh Raya Utara Selatan. Halaju 110km/jam dirasakan seperti anda berlari-lari anak di taman permainan. Semua kereta lain dirasakan menjadi terlalu perlahan bagi GLA 35

Namun anda tidak perlu memandu seperti orang sewel, hanya ikut dengan cermat pada halaju selamat dan jarak selamat di belakang kenderaan perlahan sehingga keadaan selamat atau kereta perlahan memberi laluan kepada anda
Tekanlah pedal aluminium sepuas hati dan GLA 35 seakan terbang ke depan meninggalkan SUV lain yang berkuasa 175hp seperti mainan. Kuasa brek dari cakera 350mm dengan sistem Anti Dive memastikan GLA 35 membrek dengan baik dan terkawal pada halaju tinggi
Kawalan stering adalah sangat bagus, memudahkan anda memotong kenderaan perlahan di lebuh raya dengan tenang dan bersahaja. Malah kekerasan spring dan penyerap hentak yang pada awalnya terasa begitu merepek untuk halaju perlahan, mula menjadi logik dan masuk akal pada halaju tinggi

Tahu tahu anda sedang mencecah angka 3 digit yang tidak pernah anda bayangkan semasa mengambil selekoh dan memotong kenderaan lain. Nasihat penulis, jangan tengok meter digital kerana ia akan membuatkan anda cuak disebabkan GLA 35 masih lagi tenang
Tukar mode pemanduan kepada Sport atau Sport+, maka sistem ekzos akan mengaum menambahkan lagi perasa keseronokan. Ia memberikan respon tindakbalas dengan bunyi “bergelegak” apabila pedal minyak ditekan atau ketika gear ditukar
Bunyi respon mekanikal ini tidak dapat dihasilkan oleh komputer bergerak (baca kereta elektrik). Noktah
Seperti biasa mode Sport atau Sport+ juga akan mengeraskan lagi penyerap hentak untuk bersedia dengan kelajuan GLA 35 di selekoh. Mendakap tubuh badan pemandu di selekoh adalah tanggungjawab kusyen yang dibalut dengan microfibre Dinamica, termasuklah kekerasannya yang membolehkan anda berkomunikasi dengan cesi melalui kaedah “butt feel”.

Namun pada masa sama kusyen ini tidak disertakan dengan ciri kemewahan lain yang biasa dijumpai oleh model Mercedes seperti ciri pengudaraan dan juga ciri mengurut. Span yang keras juga menyebabkan pemandu terasa sedikit penat selepas beberapa jam memandu
Namun sistem autocruise dan Lane Centering Assist membantu jika anda terasa penat sewaktu perjalanan jauh. Lampu digital LED matriks pula membantu pencahayaan di tempat gelap tanpa menyebabkan silau kepada pemandu depan. Door opening warning pula membantu anda membuka pintu dengan selamat
GLA 35 dijual dengan harga sekitar RM 363,888, jauh lebih murah daripada model GLB 35 dengan penawaran kuasa yang sama. Buat masa ini Mercedes menawarkan kredit sehingga RM25,000 MYMercedesRewards

Untuk “memaniskan” lagi pengalaman pemanduan GLA 35, Mercedes turut menawarkan pelan Step Up Agility+ yang merangkumi bayaran bulanan dari RM 3,288 sebulan, 2 kali servis, kereta gantian jika berlaku masalah dan 5 tahun Extended Limited Warranty Programme.
Kalau ada duit, ingat pesan penulis. Beli saja ketika masih kaya dan sihat.

