Buletin

BMW TAWAR PEMANDUAN AUTOMASI TAHAP 3, BOLEH LEPAS TANGAN DAN BUAT KERJA LAIN MASA SESAK!

Pemanduan autonomi dibahagikan kepada tahap 0 sehingga 5 atau bermula dari tanpa kelengkapan langsung sehingga pemanduan autonomi penuh.

Proton X90 misalnya berada pada Tahap 2 yang bermaksud separa pemanduan automasi.

Seperti biasa, pemanduan autonomi semakin berkembang dan bermula Disember 2023 BMW akan menawarkan Tahap 3 untuk model 7 Series (kecuali i7 eDrive50 dan i7 M70 xDrive).

Teknologi yang diberi nama BMW Personal Pilot L3 membolehkan pemandu melepaskan tangan daripada stereng di dalam keadaan tertentu.

Sistem mengambil alih pemanduan dengan mengawal kelajuan kereta, jarak di antara kenderaan hadapan dan kedudukan lorong. 

Sistem Tahap 3 itu dibangunkan mengikut definisi Persatuan Jurutera Automotif (SAE). 

Apa perlunya teknologi sebegini? Keperluan seseorang pemandu tidak sama dan membolehkan individu mengalihkan tumpuan mereka kepada aktiviti lain.

Memang canggih namun ada beberapa ketetapan seperti hanya boleh digunakan pada kelajuan sehingga 60 kilometer sejam (km/j) di lebuh raya dan laluan yang terpisah dengan struktur.

Walaupun begitu, sistem tersebut boleh digunakan pada waktu gelap dan pertama seumpamanya.

BMW sebelum ini menawarkan fungsi BMW Highway Assistant atau pemanduan automasi Tahap 2 SAE pada BMW 5 Series baharu. 

Fungsi tersebut direka untuk pemanduan jarak jauh dan mengurangkan beban pemandu.

Pada kelajuan sehingga 130 km/j, fungsi Bantuan Stereng dan Lorong mengawal kelajuan kereta, jarak dengan kenderaan hadapan dan stereng.

Nampak sama namun perbezaan ketara ialah Tahap 2 masih memerlukan tanggung jawab pemandu pada setiap masa.

Pemandu perlu menumpukan pada apa yang berlaku di atas jalan dan hendaklah berupaya untuk mengambil alih semula tugas pemanduan pada setiap masa.

Keadaan itu diawasi secara berterusan melalui kamera perhatian pintar.

BMW Personal Pilot L3 yang lebih canggih memberikan pilihan kepada pemandu untuk membuat aktiviti lain sambil kereta dikawal sistem. 

Sebagai contoh menyunting emel atau bercakap di dalam telefon pada kelajuan sehingga 60 km/j. Pemandu juga boleh menggunakan khidmat digital seperti penstriman video pada skrin papan pemuka.

Walaupun mempunyai had kelajuan, fungsi tersebut sangat bermanfaat ketika di dalam kesesakan jalan raya dan sebagainya.

Untuk menggunakannya, sistem akan mengeluarkan simbol di sebalik stereng apabila fungsi BMW Personal Pilot L3 dapat digunakan.

Pemandu boleh menghidup atau mematikannya melalui butang pada stereng. Ketika sistem sedang berfungsi pemandu boleh mengambil semula tugas pemanduan pada bila-bila masa. 

Apabila sistem mendapati pemandu perlu mengambil alih, isyarat visual dan akustik akan dikeluarkan dan sekiranya pemandu tidak memberi respon kereta akan diberhentikan secara terkawal.

Sistem tersebut bergantung kepada fungsi berketepatan tinggi seperti peta secara langsung (live), GPS dan penderia 360 darjah untuk kedudukan yang tepat dan pengawasan sekeliling kereta.

Selain kamera, kereta yang dilengkapi BMW Personal Pilot L3 dipasang penderia ultrasonik dan penderia radar generasi baharu dan juga penderia Lidar 3D sensitif tinggi.

Tugasnya adalah untuk mengawasi kawasan sekeliling kereta dan keadaan jalan raya.

Buat masa sekarang, sistem BMW Personal Pilot L3 ditawarkan khusus di Jerman pada harga 6,000 euro (RM30,200).

BACA: 5 ENJIN BMW YANG TAHAN LASAK SEPANJANG ZAMAN

BACA: INI CABARAN BMW DALAM MENGHASILKAN iX60 YANG LEBIH POWER

Google ads
Back to top button