Artikel Pilihan

HIDROGEN ADALAH MASA DEPAN SEBENAR DAN BUKANNYA ELEKTRIFIKASI – KORANG RASA MACAM MANA?

Bila sebut tentang kenderaan hijau mesti ramai yang menyangka ia semestinya kenderaan yang dikuasakan bateri ataupun lebih tepat lagi kenderaan elektrik (EV). Bukan salah kita pun kerana itulah yang saban hari diiklankan oleh pengeluar kereta dunia dan para penggubal undang-undang yang mengetatkan peraturan emisi dalam usaha untuk membunuh enjin pembakaran dalaman (ICE).

Namun ramai yang tidak menyedari satu lagi bahan api alternatif yang lebih bersih ialah hidrogen. Kini kuasa sebenar hidrogen mula disedari ramai selepas ia semakin popular dalam industri dari sukan motor, kenderaan berat sehinggalah ke mesin-mesin pembinaan. Malah tidak mustahil ia juga akan menyelamatkan enjin ICE dari pupus.

Teknologi hidrogen memang satu pencapaian kerana ia menawarkan dua penyelesaian kepada syarikat yang mahu menghasilkan kenderaan ataupun mesin yang lebih mesra alam. Satu cara ialah dengan menggunakan hidrogen sebagai bahan api alternatif dan satu lagi ialah menggunakan sel bahan api hidrogen di mana hidrogen ditukarkan kepada tenaga elektrik yang sekaligus menggerakkan kenderaan anda. Hasil emisinya hanyalah air. Ye air, tuan-tuan.

Inilah teknologi yang ada pada kereta seperti Toyota Mirai dan satu penyelesaian kepada kebanyakan syarikat pengangkutan trak jarak jauh. Ia sebenarnya lebih efisien daripada trak berkuasa bateri tapi semestinya tidak akan dipersetujui oleh Tesla.

Hidrogen sebenarnya boleh digunakan dengan cara yang berbeza. Ia boleh menjadi pengganti petrol dan disel pada enjin ICE dan boleh digunakan dari jentera perlumbaan sehinggalah ke trak pembancuh konkrit.

Ingat lagi tak dengan GR Yaris berkuasa hidrogen yang pernah ditunjukkan oleh Toyota? Bukan itu sahaja, Toyota juga pernah bersaing dalam siri perlumbaan Jepun menggunakan GR86 yang juga berkuasa hidrogen.

Le Mans bakals membenarkan enjin hidrogen berlumba pada musim 2025 dan walaupun peraturan F1 masih belum membenarkannya, tidak mustahil mereka akan menngubah fikiran sedikit masa lagi.

Bukan hanya dunia perlumbaan, pengaruh hidrogen juga mula menular bila Cummin dan Terex berganding bahu menghasilkan prototaip jentera pembancuh konkrit berkuasa hidrogen. Cummins sukakan hidrogen kerana ia mempunyai ketumpatan kuasa dan jarak operasi yang menyamai enjin disel tradisional dan pada masa yang sama menghapuskan emisi karbon.

Satu je masalahnya, enjin ICE dengan kuasa hidrogen bukannya sifar karbon. Cuma ia terlalu sedikit dan mungkin penguasa undang-undang Eropah pun tiada masalah untuk meluluskannya. Alah sikit sangat takkan nak berkira kot. Asap rokok lagi bahaya kan?

Google ads
Back to top button