Buletin

MG BAWA DUA MODEL BAHARU KE THAILAND: SEDAN 751HP, PIKAP ELEKTRIK DENGAN JARAK GERAK 430KM

MG terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen kenderaan elektrik di rantau ASEAN apabila memperkenalkan dua model baharu pada 2025 Motor Expo.

Acara itu menyaksikan tayangan sulung Thailand bagi sedan elektrik premium IM5, manakala trak pikap elektrik Eterron 9 pula membuat penampilan sulung peringkat ASEAN.

IM5 merupakan sedan elektrik bersaiz hampir lima meter yang diposisikan sebagai model premium MG.

Ia dilengkapi sistem IM Digital Chassis yang menumpukan kepada keupayaan suspensi dan stereng, termasuk ciri stereng empat roda bagi meningkatkan kestabilan dan pengendalian.

Menurut MG, model ini bakal menjadi wakil utama barisan premium jenama itu bermula awal 2026.

Walaupun reka bentuk luarnya mengingatkan kepada sedan prestasi elektrik dari Eropah, IM5 mencatatkan pekali seretan rendah 0.226 dan dipadankan dengan rim aerodinamik bersaiz 19-inci sebagai ciri standard.

Dari aspek keselamatan, sedan ini telah memperoleh penarafan penuh lima bintang Euro NCAP, selain dilengkapi teknologi bantuan pemandu canggih seperti parkir automatik sepenuhnya dan sistem iAD satu sentuhan untuk manuver kompleks.

Dari segi prestasi, IM5 menggunakan motor elektrik berkuasa tinggi yang menghasilkan sehingga 751hp dan 802Nm tork, membolehkannya memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 3.1 saat.

Keupayaan pengecasan pantas juga menjadi antara tarikan utama, dengan pengecas DC berkuasa 350kW membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 17 minit. Jarak gerak maksimum pula dianggarkan sehingga 700 kilometer mengikut kitaran WLTP.

Bahagian kabin menampilkan paparan ultra-lebar 26.3-inci yang digandingkan dengan skrin sentuh menegak 10.5-inci di tengah.

Tempat duduk menggunakan material lembut berkualiti tinggi dengan fungsi pemanas dan pengudaraan, manakala ruang kabin belakang menawarkan keselesaan tinggi hasil jarak roda yang panjang. Ruang but pula mencecah 457 liter.

Sementara itu, Eterron 9 muncul sebagai trak pikap elektrik berprestasi tinggi dengan konfigurasi dwi-motor yang menghasilkan sehingga 436hp.

Ia mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 5.8 saat. Pek bateri lithium-ion fosfat berkapasiti 102kWh memberikan jarak pemanduan sekitar 430 kilometer (WLTP), manakala pengecasan pantas DC 115kW membolehkan tahap bateri meningkat dari 20 ke 80 peratus dalam kira-kira 40 minit.

Seperti IM5, Eterron 9 turut menerima penarafan lima bintang Euro NCAP. Ia dilengkapi sistem pacuan semua permukaan dengan mod khas untuk laluan berlumpur dan berpasir, selain suspensi multi-link bersama penyerap hentak udara elektrik yang membolehkan ketinggian kenderaan dilaras mengikut keperluan.

Google ads
Back to top button