Buletin

PINTU TAK BOLEH DIBUKA SELEPAS KEMALANGAN: CHINA TAMATKAN ERA PEMEGANG PINTU TERSEMBUNYI

China bakal mengharamkan penggunaan pemegang pintu jenis elektrik tersembunyi atau boleh ditarik masuk, seakan yang digunakan oleh Tesla dan beberapa pengeluar kenderaan elektrik lain, bermula tahun 2027.

Langkah ini dibuat susulan kebimbangan keselamatan selepas beberapa kemalangan maut di mana penumpang serta pasukan penyelamat gagal membuka pintu kenderaan selepas pelanggaran.

Di bawah peraturan baharu itu, semua kenderaan penumpang diwajibkan mempunyai pemegang pintu dalaman dan luaran yang dilengkapi fungsi mekanikal.

Ini bermakna pintu masih boleh dibuka secara manual walaupun sistem elektrik gagal atau kenderaan mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan.

Isyarat awal mengenai perubahan dasar ini muncul pada pertengahan Disember lalu apabila Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT) memasukkan cadangan tersebut dalam draf peraturan baharu.

Draf itu menetapkan bahawa semua kenderaan penumpang dengan berat bawah 3.5 tan mesti menggunakan pemegang pintu yang kekal berfungsi secara mekanikal selepas pelanggaran.

Keputusan ini dijangka melegakan pihak penyelamat, yang sejak kebelakangan ini berdepan kesukaran untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan elektrik moden selepas kemalangan, terutamanya model yang bergantung sepenuhnya kepada sistem elektronik untuk membuka pintu.

Pemegang pintu elektrik yang boleh ditarik masuk, seperti digunakan pada Tesla Model S dan BYD Seal, kini menjadi ciri reka bentuk popular dalam kalangan EV di China.

Model Tesla Model 3 dan Model Y pula menggunakan pemegang pintu jenis butang tekan, yang turut tergolong dalam kategori sama.

Daya tarikan utama reka bentuk ini ialah kecekapan aerodinamik, yang kononnya membantu meningkatkan jarak pemanduan. Namun, sejak 2024, semakin banyak aduan diterima berkaitan isu kebolehpercayaan pemegang pintu ini, bukan sahaja selepas kemalangan, malah ketika cuaca sejuk.

Beberapa insiden berprofil tinggi turut mencetuskan perhatian umum. Pada 13 Oktober lalu, penumpang sebuah kenderaan dilaporkan maut dalam kemalangan di Chengdu apabila saksi gagal membuka pintu kereta tersebut.

Dalam satu lagi kejadian di Tongling, tiga individu terkorban dalam kemalangan berasingan. Laporan Sixth Tone menyatakan kedua-dua kes melibatkan model Xiaomi SU7 Ultra.

Menurut satu sumber dipetik oleh The Paper, pemegang pintu dalaman SU7 menggunakan butang elektronik yang tidak boleh berfungsi selepas bekalan kuasa terputus.

Tambahan pula, pemegang pintu mekanikal dalaman tidak jelas kelihatan, menyebabkan pasukan penyelamat tidak dapat mencapainya walaupun cermin dipecahkan.

Perbincangan mengenai kemungkinan larangan ini sebenarnya sudah kedengaran sejak September. Walaupun pengeluar sering mempromosikan pemegang pintu rata sebagai faktor penjimatan tenaga, kajian menunjukkan kesan sebenar adalah minimum.

Pengurangan rintangan angin dianggarkan hanya sekitar 0.005 hingga 0.01 pekali seretan, bersamaan penjimatan kira-kira 0.6kWh bagi setiap 100 kilometer.

Jika larangan ini dilaksanakan, kesannya bukan sahaja terhad kepada pasaran China. Sebagai pengeksport kenderaan terbesar dunia, perubahan piawaian domestik dijangka mempengaruhi model eksport pengeluar China ke peringkat global.

Pada masa sama, pengeluar Barat yang menjual kenderaan di China berkemungkinan perlu mengubah reka bentuk global mereka bagi mematuhi piawaian baharu ini, sekali gus mengurangkan kos pengeluaran dan memudahkan penyelarasan model merentas pasaran.

Google ads
Back to top button