Buletin

BOSCH PERKUKUHKAN LAGI PENGUASAAN DI MALAYSIA

Petaling Jaya, Malaysia – Bosch, syarikat pembekal teknologi dan perkhidmatan bertaraf global kini telah mengakhiri tahun fiskal 2016 dengan jualan keseluruhan mencecah RM610 juta (133 juta Euro), menjadikan Malaysia sebagai penyumbang kedua terbesar di Asia Tenggara kepada jumlah perolehan Bosch. Rakan sekutu mereka juga semakin meningkat sebanyak empat peratus menjadikan bilangannya kini mencecah 2,700.

Simon Song, Pengarah Urusan Bosch Malaysia, melihat ini sebagai satu peluang baik untuk perniagaan. “Pertambahan secara progresif industri berasaskan internet (IoT) bermakna satu perubahan besar dan menawarkan potensi yang besar untuk perniagaan. Justeru itu, Bosch kini memudahkan pelanggan untuk mendapatkan produk-produk menerusi atas talian sebagai penyelesaian bijak dan sebagai salah satu langkah untuk memastikan Bosch kekal kompetitif.

Beliau menambah, “Sebagai tambahan kepada penyelesaian perhubungan atas talian dengan pelanggan, kami merupakan pendahulu teknologi dengan melengkapkan kilang-kilang pengeluaran kami dengan modul kegunaan industri versi 4.0 untuk meningkatkan tahap kelancaran dan produktiviti.”

Pelaburan kukuh Bosch di Malaysia
Untuk mengukuhkan lagi Malaysia sebagai lokasi pengeluaran global Bosch selain penyelidikan dan pembangunan, Bosch Group telah melaburkan sejumlah 138 juta Euro di negara ini sejak lima tahun lepas. Daripada jumlah itu sejumlah 35 juta Euro adalah untuk pelaburan tahun 2016 sahaja. “Untuk memenuhi permintaan pelanggan terhadap produk kami, pelaburan tambahan disalurkan untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran,” kata Simon.

Sebagai contoh, syarikat telah menyalurkan pelaburan ke bahagian kejuruteraan khusus bahagian Multimedia Kereta untuk mempertingkatkan lagi operasi khususnya SMT (surface mount technology). Kemudahan SMT ini telah dibuka pada bulan Mac tahun lepas untuk meningkatkan lagi pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan selain untuk R&D. Ia juga membolehkan Bosch membekalkan perkhidmatan kepada pelanggan tempatan mahupun antarabangsa.

Mengecilkan jurang dengan pelanggan menggunakan e-Commerce
Pelancaran bilik pameran atas talian Bosch dalam tahun 2016 merupakan langkah pertama Bosch dalam e-Commerce ataupun jual beli secara elektronik. Ia juga merupakan pendekatan pertama Bosch di Asia Tenggara. Usaha ini mendekatkan lagi mereka kepada pelanggan dan membuka peluang baharu dalam perniagaan. Selepas pembukaan stor atas talian dengan Lazada, Bosch meneroka e-Commerce lebih jauh melalui 11Street. Untuk tahun 2017, Bosch bercadang untuk menyertai satu lagi laman membeli belah atas talian utama di Malaysia.

Menyumbang teknologi keselamatan kenderaan di Malaysia
Pada tahun 2016, Bosch telah dianugerahkan Safety Technology Award: Innovative Motorcycle Technology for Safer Riding oleh NCAP, sebagai menghargai usaha berterusan syarikat dalam membangunkan ciri keselamatan khusus untuk motosikal di Malaysia khususnya sistem brek anti-kunci (ABS), sistem kestabilan motosikal (MSC) dan side view assist.

Berdasarkan laporan WHO pada tahun 2015, Malaysia merekodkan 15 kematian setiap hari akibat kemalangan, ketiga tertinggi di Asia Tenggara. Daripada jumlah itu, 60 peratus merupakan penunggang motosikal. “Visi Bosch untuk masa depan ialah ‘zero accidents, zero emissions and zero stress’, disebabkan itulah kami meneruskan usaha dalam kesedaran tentang ciri keselamatan aktif untuk tahun 2017.

Di sebalik sistem ESP, kami komited untuk memperkenalkan teknologi seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Blind Spot Detection (BSD) dan Lane Keeping Assistance (LKT) pada kenderaan. Kami akan terus mendidik pengguna tentang keselamatan berkenderaan ke peringkat akar umbi contohnya melalui pengenalan Bengkel khusus untuk wanita (Auto Women’s Workshop) melalui kempen ‘One Wrong Part Ruins Everything,’” kata Song.

Pembangunan cabang perniagaan Bosch di Malaysia
Sektor penyelesaian mobiliti merekodkan hasil jualan tertinggi Bosch di Malaysia. Ini dipacu oleh trend terkini dalam dunia automobil seperti sistem pemanduan autonomous dan IoT. Bosch Car Multimedia contohnya mencatat pertumbuhan dua angka.

Bosch juga membangunkan sistem eCalls untuk membantu kenderaan moden membuat panggilan kecemasan automatik dalam kecemasan. Ia juga bakal dipasarkan ke China, Eropah dan Amerika Syarikat. Bahagian Automotive Steering juga menjadi hab untuk penghasilan Mechanical Steering Gears (MSG) Asia Tenggara. Permintaan untuk MSG adalah cukup tinggi khususnya untuk kereta-kereta baharu keluaran Jepun. Bahagian lain seperti Original Equipment dan Automotive Aftermarket juga mencatatkan peningkatan dari segi jualan untuk suku pertama 2017.

BACA: TEKNOLOGI KENDERAAN MASA HADAPAN OLEH BOSCH

Bahagian Power Tools menjadi semakin stabil dengan pengenalan platform e-Commerce dan konsep jualan innovatif Bosch Power Box, sebuah stor jualan mudah alih dan yang diperkenalkan di Forest City, Johor Bahru. Tahun ini juga Bosch akan melancarkan lebih 20 produk baharu daripada alat pemotong sehinggalah ke pembasuh bertekanan tinggi. Bahagian ini cukup berjaya mencapai sasaran jualan pada tahun sebelumnya dengan pengenalan 17 produk baharu.

Bahagian lain seperti Drive Control Technology dan Energy and Building Technology mencatatkan sedikit penurunan akibat keadaan ekonomi dunia khususnya dalam industri melibatkan petroleum dan gas begitu juga dengan kejuruteraan mekanikal.

Google ads
Back to top button