Buletin

HONDA MALAYSIA SERAH UNIT PERTAMA JAZZ HYBRID

Honda Malaysia pada kelmarin telah menyerahkan Jazz Sport Hybrid i-DCD kepada pembeli pertama, Puan Aneesa Binti Abdul Rashid yang bertempat di Honda Global Amity di Bangi.

Penyerahan itu juga begitu bermakna Malaysia ialah satu-satunya negara di luar Jepun yang menawarkan teknologi pintar sistem dual klac hibrid yang dimuatkan dalam Jazz Hybrid baharu. Satu lagi fakta menarik ialah, penerimaan pasaran Jepun terhadap kenderaan hibrid yang dilengkapi sistem i-DCD ini begitu menggalakkan sehingga mencatat jualan hampir 865,000 unit setakat Jun lepas.

Secara keseluruhan, jualan kenderaan hibrid di Jepun sehingga kini sudah menghampiri 1.42 juta unit sejak pengenalan teknologi tersebut pada 1999. Jualan kumulatif Honda Jazz Hybrid di peringkat global pula sudah melebihi 525,000 unit.

Honda Jazz facelift dilancarkan pada awal Jun lalu dan menerima sambutan menggalakkan di mana lebih dari 1300 unit telah terjual dalam masa dua minggu sahaja. Jazz baharu ini telah menjadi pendahulu segmen dan model paling popular dalam sejarahnya dengan jualan lebih dari 48,000 unit sejak dilancarkan pada 2014.

Pengenalan Jazz Hybrid pula adalah susulan dari respon pasaran yang mahukan sebuah kereta dengan ciri-ciri pemanduan sporti tanpa mengorbankan keluasan dan penampilan bergaya.

BACA: INI HONDA JAZZ VERSI AS – DENGAN TRANSMISI 6 KELAJUAN MANUAL DAN HONDA SENSING

BACA: HONDA JAZZ GE BODYKIT RS

Selain dari menjadi pemilik tempatan pertama yang memiliki Jazz Hybrid, Puan Aneesa juga dihadiahkan kit badan penuh Mugen dan tiket ke perlumbaan Formula 1 yang dijadualkan pada Oktober depan. Penghargaan yang diterima Puan Aneesa ialah bernilai RM6,350 yang merupakan tanda terima kasih dari Honda Malaysia dalam momen bersejarah ini.

Google ads
Back to top button