RASMI: MOTO MORINI CALIBRO 700 TIBA DI MALAYSIA – RM35,888
MForce Bike Holdings dengan rasminya memperkembang tawaran jenama Moto Morini di Malaysia kali ini menerusi Calibro 700.
Moto Morini Calibro 700 merupakan motosikal gaya cruiser segmen pertengahan yang kini ditawarkan di Malaysia dengan harga jualan RM35,888.
Menurut Moto Morini, Calibro 700 ini direka oleh Italian Style Center bagi memastikan rupa keseluruhan mencapai standard di samping memenuhi cita rasa peminat cruiser.
Atas kertas, Calibro 700 dikuasakan enjin dua silinder 693cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 69hp pada 8,500rpm dan 68Nm pada 6,500rpm. Moto Morini juga mendakwa motosikal ini mampu mencapai kelajuan maksima lebih 175km/j.
Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk ABS dwi-saluran, cakera brek 320mm dengan brek 2-piston depan dan satu piston belakang. Suspensi pula merangkumi fork teleskopik depan dengan penyerap hentak berkembar di belakang yang dipadankan dengan tayar 18-inci depan dan 16-inci belakang.
Sementara itu, Calibro 700 hadir dengan meter digital yang memaparkan info seperti meter minyak dan petunjuk gear. Port pengecas USB juga didatangkan secara standard.
Menariknya, untuk pasaran Malaysia, Calibro 700 didatangkan dengan panniers secara standard sekaligus menawarkan ruang simpanan yang lebih banyak.
Moto Morini Calibro 700 ini juga menawarkan tangki bahan api berkapasiti 15-liter serta berat 200kg. Bagi pasaran Malaysia hanya warna Quartz Black sahaja ditawarkan.
GALERI: MOTO MORINI CALIBRO 700