Buletin

812 SUPERFAST – MODEL FERRARI PALING BERKUASA DAN LAJU SETAKAT INI

Ferrari bakal mendedahkan model berlinetta 812 Superfast yang disifatkan sebagai jentera paling pantas dan berkuasa pernah dihasilkannya di acara Geneva International Motor Show 2017, Mac depan.

812 Superfast dikatakan bakal memulakan era baru sejarah enjin 12 silinder Ferrari selepas legasi model-model seperti F12 Berlinetta dan F12tdf. Dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-70 Ferrari, 812 Superfast merupakan varian naik taraf F12 Berlinetta secara ekstensif yang ditawarkan pada tahun 2012.

Jentera itu menggunakan enjin V12 baharu bersesaran 6.5 liter yang mampu menjana kuasa sehingga 788hp. Kuasa tork pula setinggi 718Nm dengan 80 peratus daripadanya boleh dicapai pada putaran enjin 3,500rpm.

Transmisi klac berkembar tujuh kelajuan 812 Superfast mempunyai nisbah gear yang spesifik untuk menawarkan maklum balas pendikit lebih responsif.  Ia sekali gus mencatat satu penanda aras baru untuk segmen kereta sport berenjin hadapan.

Kuasa enjin itu diseimbangkan dengan sistem kawalan tercanggih untuk menawarkan dinamik pemanduan yang terbaik. Dengan berat keseluruhan cuma 1,525kg kelajuan maksimum yang ditawarkan adalah lebih 340km/j. Jentera itu mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 2.9 saat sahaja.

812 Superfast menjadi model Ferrari pertama dilengkapi EPS (Electric Power Steering). Bagi mengeksploitasi potensi sebenar jentera ini, ia diintegrasikan dengan semua kawalan dinamik. Ini termasuklah Side Slip Control (SSC) versi 5.0 Ferrari.

812 Superfast buat pertama kalinya juga menampilkan sistem Virtual Short Wheelbase 2.0 yang menambah baik aspek pengendaliannya.

Di ruang kabin 812 Superfast menerima kluster instrumen baharu. Papan pemukanya telah direka semula bersama kemasan besi yang lebih premium, sistem infotainmen dan kawalan suhu. Tempat duduk juga direka agar lebih ergonomik.

 

Ferrari mendakwa setakat ini belum pernah ada kenderaan produksi yang hampir dengan angka kuasa tersebut. Kuasa enjin itu kemudian disempurnakan lagi dengan bunyi ekzos yang sukar untuk digambarkan.

BACA: POLIS SEPANYOL SERBU BENGKEL FERRARI DAN LAMBORGHINI PALSU

BACA: FERRARI 418  ITALIA JUSTIN BIEBER DILELONG PADA HARGA RM1.9 JUTA

Google ads
Back to top button