Buletin

AUDI E-TRON PROTOTYPE – CUBA PERHATI CERMIN SISI SUV INI

Sekarang ini musim digital. Daripada telefon bimbit kepada isi borang masuk universiti, peti sejuk dan meter kenderaan sudah didigitalkan.

Kereta mewah hari ini pun sudah tidak menggunakan meter dengan jarum dan digantikan dengan paparan grafik sepenuhnya. SUV Proton pertama juga dikhabarkan turut menggunakan teknologi ini.

Audi sekarang ini sedang membangunkan SUV e-tron. Model ini adalah kenderaan elektrik pertama Audi dan selain nadi kuasa mesra alam, ada satu kelengkapan yang menarik perhatian.

Cuba perhatikan cermin sisi SUV ini. Halus bebenor. 

Audi mahukan interior yang hebat dan ini boleh dilihat melalui susunan serta rekaan peralatan dalaman. Audi juga mahu meneroka teknologi digital dan dengan itu bakal menggantikan cermin sisi konvensional dengan kamera dengan imej dilayarkan pada skrin di pintu.

Jika diikutkan trend, Honda terlebih dahulu menawarkan Honda LaneWatch di mana imej yang dicerap dari cermin sisi akan dipaparkan pada skrin papan pemuka apabila lampu isyarat diaktifkan.

Namun apa yang dibuat oleh Audi adalah tahap seterusnya apabila skrin yang memaparkan objek sisi diletakkan terus pada pintu.

Canggih dan menarik tetapi ia turut datang dengan halangan. Menurut laporan Motor Authority, nampaknya e-tron spesifikasi Amerika Syarikat hanya akan dilengkapi dengan cermin sisi biasa dek kerana undang-undang semasa.

Audi sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menawarkan teknologi ini pada masa akan datang.

Hebat betul dan tertanya juga bagaimana prestasi kamera sisi ini pada waktu malam. Apa pun, teknologi canggih seperti ini hanya menunggu masa sahaja akan digunakan secara meluas dan nampaknya Audi berjaya mengembangkannya ke tahap lebih tinggi.

Selain teknologi canggih, reka bentuk Audi e-tron ini juga nampak menarik dan menyerlah. Tiada lekuk-lekuk, banyak guna garis lurus dan bersegi sahaja.

BACA: AUDI A6 AVANT – CONTOH REKA BENTUK TIDAK PERLU DRAMA SANGAT

Google ads
Back to top button