Buletin

BMW PERKENALKAN M3 CS – VARIAN 3 SERIES PALING GANAS

Model-model M BMW memang sudah cukup dikenali di seluruh dunia. Awal tahun ini BMW telah memperkenalkan M4 CS kepada dunia dan hari ini mereka memperkenalkan pula model edisi terhad BMW M3 CS, versi lebih ringan, lebih berkuasa dan lebih segala-galanya daripada sport sedan terhebat dunia.

Banyak perkara tentang kereta ini sebenarnya disalin daripada M4 CS dan ia bukannya sesuatu yang mengejutkan. Kelengkapan yang ada padanya melebihi M3 Competition Package dan menjadikannya M3 paling berkuasa pada saat ini. Enjinnya juga telah dilaras kembali tetapi permata sebenar pada model ini ialah pengurangan berat keseluruhan dan sedikit penambahbaikan dari sudut aerodinamik.

Enjin 3.0-liter sebaris enam twin-turbo M3 CS ini mampu menghasilkan 453 hp kuasa dan 600 Nm tork. Peningkatan sebanyak 28 hp dan 50Nm berbanding M3 standard. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik klac-berganda 7-kelajuan. Transmisinya juga dilengkapi dengan pendingin berasaskan minyak.

M3 CS ini mampu mencecah kelajuan 100km/j hanya dalam masa 3.7 saat dan mencapai kelajuan maksima 280 km/j. Ia juga turut dilengkap dengan sistem ekzos sport M yang menghasilkan bunyi dan aliran udara yang lebih baik.

Selain dari peningkatan prestasi, M3 CS ini juga telah kehilangan hampir 50 kilogram berat badannya berbanding M3 standard berikutan penggunaan CFRP (carbon fiber reinforced plastic) pada beberapa bahagian badannya.

Antara komponen yang dihasilkan dari CFRP ialah splitter depan, diffuser belakang dan sirip-sirip yang membantu aerodinamik dan downforce. Bahagian bonet dan bumbung turut dihasilkan daripada CFRP sekaligus mengurangkan berat sebanyak 25 peratus berbanding penggunaan komponen yang sama daripada logam.

Pengurangan berat juga dibantu dengan penggunaan rim yang ditempa daripada aloi ringan bersazi 19 inci di depan dan 20 inci di belakang. Tayar Michelin Pilot Super Sport dipadankan standard dengan rim-rim tersebut.

BACA: BMW PERKENALKAN KERETA KESELAMATAN BARU UNTUK MOTOGP – M5 TERBARU

M3 CS ini juga didatangkan standard dengan suspensi BMW Active M dengan pilihan mod Comfort, Sport dan Sport+. Setiap mod akan mengubah tetapan penyerap hentak selain keberatan roda stereng. Selain dari sistem suspensi, M3 CS juga turut dilengkapi dengan Active M Differential yang berkomunikasi dengan sistem kawalan kestabilan untuk agihan tork secara bijak. Dalam mod M Dynamic, ia juga akan membenarkan anda membuat aksi drift ringan secara terkawal.

Bahagian lain adalah sama dengan M3 Competition Package dan brek karbon seramik merupakan aksesori pilihan.

Bahagian dalaman diberikan kemasan eksklusif termasuk kulit dengan dua tona. Alcantara juga digunakan secara meluas khususnya pada roda stereng, papan pemuka dan konsol tengah. Bahagian lain adalah sama dengan Competition Package lengkap dengan sistem audio Harman Kardon dan navigasi.

Harga ialah sekitar RM480k di Eropah dan akan mula dijual musim bunga 2018. Hanya 1200 unit akan dikeluarkan dan 550 daripadanya adalah untuk pasaran AS.

GALERI:

Google ads
Back to top button