Buletin

HAI SUZUKI CELERIO, ADAKAH INI MODEL PROTON AKAN DATANG?

Kerjasama Proton bersama Suzuki dijangka akan lebih bersemarak dengan kemunculan pelbagai model baru yang akan dipasarkan. Kerjasama ini dijangka tidak akan terhad kepada pemindahan teknologi semata-mata tetapi juga pemberian hak untuk memasarkan produk masing.

Selain dari model Suzuki Ertiga yang bakal dipasarkan sekitar Oktober ini dengan nama Proton Ertiga. Proton juga diramalkan bakal memasarkan model kompak kecil Suzuki Celerio yang juga akan di “rebadge” sebagai model baru Proton.

Selepas melancarkan Proton Persona baru dan bakal menyusul dengan Saga baru, Proton dijangka akan memulakan langkah agresif untuk menyaingi Perodua sebagai jenama tempatan terlaris di Malaysia.

proton Celerio (2)

Bagi tujuan itu, Proton memerlukan model yang sesuai untuk mengisi segmen Small Compact Car  atau kategori segmen A yang sehingga hari ini masih dikuasai Perodua menerusi Axia dan terbaru Bezza. Jenama lain seperti Kia Picanto juga termasuk dalam kategori ini tetapi dengan harga yang mampu tengok sahaja bagi golongan berpendapatan sederhana.

Sebelum ini Proton pernah mencuba pasaran kompak kecil ini dengan memperkenalkan Proton Tiara berkolaborasi dengan Citroen serta Savvy hasil kerjasama dengan Renault. Namun seperti yang diketahui, hasilnya kelaut.

proton Celerio (4)

Kini Proton mengalihkan pusingan sterengnya ke negara matahari terbit iaitu Jepun dan bekerjasama dengan Suzuki Motors.  Berdasarkan rekod kerjasama dengan syarikat-syarikat dari Jepun, terbukti satu langkah bijak kalau dilihat rekod kerjasama dengan Mitsubishi sebelum ini.

Suzuki Celerio merupakan sebuah model kompak 1.0 liter dan menggunakan kotak gear CVT. Dibekalkan dengan enjin K10B tiga selinder yang mampu menghasilkan 68 bhp dan tork maksima 90Nm, Celerio mampu meluncur laju tanpa sebarang masalah kerana berat keseluruhannya hanya sekitar 800kg. Tak sampai satu tan pun.

proton Celerio (5)

Adakah akan ada perubahan pada luaran berbanding Celerio yang asal? Rasanya perubahan semestinya ada berdasarkan bahasa rekaan Proton yang terkini. Lihat sahaja rekaan hadapan Perdana baru dan Persona baru yang jelas menunjukkan hala tuju korporat Proton.

Walaupun Perdana merupakan sebuah Honda Accord yang di “rebadge”, hakikatnya ia masih mengagumkan kami dengan rekaan luar yang boleh dikatakan lari dari tema Honda yang asal. Ramai tidak menyangka ia masih diasaskan daripada sebuah Honda Accord jika tidak melihat ruangan enjinnya.

proton Celerio (3)

Jika ada yang musykil dengan nama Celerio yang kedengaran seperti sejenis sayuran jawabnya, bukan. Celerio bukannya diambil daripada perkataan celery tuan-tuan. Ianya adalah kependekan daripada frasa Celestial River.

Celerio juga bermaksud kelancaran ataupun juga kelajuan. Sama seperti nama Suzuki Swift. Jadi kalau ada yang kata anda memandu kereta sayur. Sekolahkan sedikit mereka ni atau sayurkan mereka di traffic light terutamanya Myvi dan Vios yang kini menjadi raja di lorong kanan lebuhraya kita, Aston Martin DB9 pun dia bagi high beam jangan tak tau.

Celerio yang berada dalam segmen A akan menjadi model paling penting kerana pasaran segmen ini cukup besar. Di Malaysia, pasaran ini sudah lama dikuasai Perodua sebagai pengeluar kereta kompak terulung di sini. Kehadiran model baru Proton sememangnya ditunggu-tunggu kerana ini akan memberikan lebih pilihan buat pengguna. Faktor penentu semestinya harga pasaran kerana rata-rata pembeli segmen ini membuat pilihan berdasarkan harga. Kelengkapan tambahan merupakan satu bonus buat pembeli.

proton Celerio (1)

Seperti kereta lain, kereta kompak sering dilabelkan sebagai kereta kegunaan di bandar-bandar tetapi di Malaysia sebagai antara negara dengan harga kereta yang tinggi, mana boleh ada kereta untuk ke pasar dan ada kereta untuk ke pejabat. Biasanya kereta yang sama akan digunakan untuk ke pasar, sekolah, pejabat, balik kampung, berniaga pasar karat hujung minggu, berkelah, pindah rumah, uber, grabcar dan seribu kegunaan lagi.

Jika anda masih bujang ataupun mempunyai keluarga yang kecil, ini antara pilihan yang baik buat anda jika inginkan kelainan. Tengok tempat meletak kereta pejabat anda yang penuh dengan Myvi kuning, putih, biru, hitam dan sebagainya. Bukankah elok jika ada satu dua model lain parkir di situ. Kecuali jika anda memang minat dan mampu membeli sebuah Mini Cooper klasik. Itu dah kira super kompak dan mahal dan kena bayar tunai.

Google ads
Back to top button